WILAYAH - UTARA > BERITA

MANGSA BANJIR PUING DI BALING GEMBIRA TERIMA KUNCI RUMAH BAHARU

13/12/2025 09:02 PM

BALING, 13 Dis (Bernama) -- Mangsa tragedi banjir puing Kampung Iboi meluahkan rasa gembira apabila projek pembinaan perumahan fasa kedua di Kampung Bok Bak dekat sini telah siap sepenuhnya dan boleh didiami.

Seorang penerima, Che Nai Isa, 62, berkata dia bersama isteri, Che Hasnah Ismail, 61, tidak sabar untuk berpindah ke rumah baharu selepas menerima kunci kediaman itu hari ini.

“Sebelum ini, setiap kali melalui kawasan perumahan ini, saya tidak sabar menunggu rumah kami siap. Alhamdulillah, hari ini kami terima kunci rumah dan menjangkakan akan berpindah masuk minggu hadapan.

“Selepas mencuci rumah, kami akan mula memindahkan barang-barang. Rumah baharu ini lebih selesa dan selamat berbanding rumah lama yang sentiasa berisiko dilanda banjir,” katanya yang ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah di Kampung Bok Bak oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di sini hari ini.

Mengimbau tragedi pada 4 Julai 2022, Che Nai berkata kejadian berlaku sangat pantas menyebabkan dia dan isteri terpisah akibat dihanyutkan arus deras.

“Saya sempat berpaut pada pokok buluh manakala isteri dihanyutkan ke arah bertentangan dan berpaut pada pokok pinang. Mujur kami berdua berjaya diselamatkan.

“Anak perempuan saya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pula berseorangan di dalam rumah ketika kejadian, namun sempat diselamatkan oleh anggota keluarga,” katanya sambil menambah kesan banjir puing itu menyebabkan dapur dan dinding rumahnya runtuh serta tidak selamat untuk didiami.

Seorang lagi penerima, Siti Hajar Said, 37, berasa sangat terharu atas pembinaan rumah itu yang akan didiami bersama suami dan tiga anak.

“Di rumah lama di Kampung Padang Empang, kami berasa tidak selamat dan anak-anak masih trauma dengan tragedi itu. 

“Apabila menerima kunci hari ini, saya berasa sangat terharu dan gembira. Kami merancang untuk memindahkan barang ke sini dalam masa terdekat,” katanya.

Siti Hajar berkata walaupun kejadian banjir puing berkenaan berlaku lebih tiga tahun lepas, ia masih segar dalam ingatannya.

“Pada mulanya kami menyangka banjir biasa, namun air naik mendadak hingga menenggelamkan seluruh rumah. Mujur rumah ibu mentua yang lebih tinggi menjadi tempat kami berlindung ketika itu,” katanya.

Siti Roslina Sahak, 46, pula menyifatkan rumah baharu itu lebih selesa dan selamat untuk didiami.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan semua pihak yang terlibat dalam menyediakan kediaman lebih baik kepada mangsa banjir,” katanya.

Pada 4 Julai 2022, banjir puing yang melanda Kampung Iboi menyebabkan 12 keluarga kehilangan tempat tinggal, manakala kediaman 17 keluarga lain terjejas dan dikategorikan berada dalam zon kuning.

Dalam kejadian itu, tiga sekeluarga terdiri daripada seorang warga emas lumpuh, anak lelakinya dan menantunya yang sedang hamil empat bulan dilaporkan meninggal dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan