WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEMERIAHAN KRISMAS KIAN TERASA, PUSAT BELI-BELAH JADI TUMPUAN ORANG RAMAI

14/12/2025 06:16 PM

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Kemeriahan sambutan Hari Krismas pada 25 Dis ini semakin terasa dengan penganut Kristian memanfaatkan cuti hujung minggu untuk membuat persiapan dan membeli kelengkapan perayaan seperti hiasan rumah, baju baharu dan hadiah.

Pusat beli belah utama turut dipenuhi dengan dekorasi berwarna-warni bagi menambah lagi kehangatan sambutan. 

Di ibu negara, tinjauan Bernama mendapati gedung ikonik Suria KLCC terus menjadi tumpuan pengunjung tempatan dan luar negara, bukan sahaja untuk membeli-belah malah mengabadikan kenangan bergambar dengan berlatar belakang pokok Krismas gergasi yang menghiasi ruang legar.

Pelancong dari United Kingdom, Liam Harrison, 34, berkata ini kali pertama dia menyaksikan persiapan Krismas yang penuh warna-warni di Malaysia yang disifatkan tidak kurang meriahnya berbanding sambutan di negaranya. 

Sarah Bannet, 38, dari Australia turut kagum melihat persiapan sambutan Krismas di Malaysia yang begitu meriah.

“Walaupun Malaysia negara yang majoriti penduduknya Islam, kehangatan suasana Krismas tetap dirasai. Hiasan lampu, muzik dan aktiviti di sekitar pusat beli-belah menjadikan kemeriahan perayaan lebih terasa. Saya suka melihat setiap orang tanpa mengira latar belakang turut meraikan perayaan ini,” katanya.

Di PULAU PINANG, tinjauan di pusat beli-belah di Bandar Sunway Seberang Jaya mendapati suasana begitu meriah dengan kebanyakan premis menawarkan promosi istimewa selain kehadiran gerai jualan perhiasan diri, permainan dan kuih-muih.

Bagi menghidupkan lagi suasana sambutan, pihak pengurusan mengambil inisiatif mewujudkan ruangan khas yang dihias dengan perhiasan berwarna-warni menyerupai dunia fantasi untuk menarik pengunjung terutama kanak-kanak bermain sambil merakam gambar kenangan.

Di SARAWAK, situasi sama turut dirasai dengan pusat beli-belah di sekitar bandar raya Kuching dipenuhi orang ramai yang mengambil kesempatan membuat persiapan, lebih-lebih lagi dengan tawaran promosi hujung tahun.

Petugas Sarawak Energy, Ollingga lowance, 41, yang ditemui di pusat beli-belah Kuching Sentral berkata persiapan awal memudahkan perancangan sambutan bersama keluarga selain dapat menjimatkan masa dan mengurangkan tekanan menjelang hari perayaan.

“Setiap tahun saya memang akan buat persiapan awal terutama membeli baju untuk anak-anak dan diri sendiri serta perhiasan rumah sempena Krismas. Kalau beli di saat akhir terpaksa bersesak dengan orang ramai,” kata bapa kepada empat anak itu.

Bagi pekerja swasta, Suzzy Ellyana Jeffery, 31, promosi akhir tahun menjadi tarikan utama untuk berbelanja memandangkan diskaun yang ditawarkan membuatkan barangan keperluan perayaan dibeli pada harga yang lebih berpatutan.

Di SABAH, bersempena sambutan Krismas tahun ini, penjawat awam Marryan Razan, 40, berkata persiapan dibuat secara sederhana dengan hanya membeli sepasang pakaian baharu. 

 “Apa yang lebih menggembirakan saya ialah apabila dapat menyediakan hadiah Krismas kepada 20 orang anak saudara saya,” katanya yang berasal dari Kampung Tiong, Tamparuli.

Sementara itu, kerajaan Sabah akan menganjurkan sambutan Krismas peringkat negeri bertemakan “Hope For Peace In Love” pada 16 Dis ini di Padang Merdeka, dari 6.50 petang hingga 10 malam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan