WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ASIA PASIFIK MESTI TERIMA PAKAI PERALIHAN TENAGA SEBAGAI STRATEGI PERTUMBUHAN EKONOMI – IATA

15/12/2025 09:19 AM

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

GENEVA, 15 Dis (Bernama) -- Kerajaan di Asia Pasifik perlu menganggap peralihan tenaga, termasuk pembangunan bahan api penerbangan mampan (SAF), sebagai satu strategi pertumbuhan ekonomi dan bukannya isu khusus untuk sektor penerbangan, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Ketua Ahli Ekonomi IATA Marie Owens Thomsen berkata rantau itu berisiko ketinggalan dalam beberapa strategi pertumbuhan sebenar yang tersedia hari ini, jika penggubal dasar menangguhkan pelaburan dalam tenaga boleh baharu, pengeluaran bahan mentah dan keupayaan SAF. 

“Kami sentiasa bergantung kepada mobiliti dan tenaga bagi kemajuan ekonomi. Penerbangan bukan sekadar menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tetapi juga meningkatkan kadar pertumbuhan KDNK.

“Impaknya menjadi pemangkin kepada strategi pertumbuhan peralihan tenaga yang lebih baik bagi negara terlibat,” katanya dalam wawancara eksklusif pada sesi taklimat media global IATA di sini baru-baru ini. 

Peralihan tenaga dan skala SAF menjadi topik tumpuan pada sesi taklimat media tersebut.

Beliau juga berkata kerajaan di seluruh dunia telah menggunakan semua kaedah ekonomi tradisional seperti kadar faedah yang rendah dan ruang fiskal, menjadikan peralihan tenaga sebagai peluang yang jarang digunakan untuk memacu produktiviti jangka panjang. 

“Tiada banyak strategi pertumbuhan sebenar yang masih ada. Negara-negara terlalu bergantung kepada kaedah sedia ada, kadar faedah tidak boleh dikurangkan lagi, dan cukai juga sudah tinggi.

“Semua dasar tradisional sudah dilaksanakan ke tahap maksimum. Jadi, saya boleh menyatakan bahawa strategi pertumbuhan yang paling baik ialah melibatkan diri dengan peralihan tenaga.

“Menerusi peralihan tenaga ini, anda boleh mempelbagaikan pertanian untuk menghasilkan bahan suapan dan anda boleh mempelbagaikan grid tenaga.

“Amat jelas bahawa kita mahukan lebih banyak tenaga dari angin, solar atau apa-apa jenis tenaga boleh baharu supaya semua industri boleh melakukan menyahkarbon dan kemudiannya kami juga (penerbangan),” jelasnya. 

Menurut Penilaian Stok Suapan Global IATA untuk Pengeluaran SAF - Tinjauan menuju 2050, industri pengangkutan akan memerlukan kira-kira 500 juta tan (mt) SAF pada 2050 untuk mencapai pelepasan CO₂ sifar bersih.

Pada 2025, pengeluaran SAF global dianggarkan hanya dua Mt. 

Walaupun setiap rantau boleh menjana bahan mentah bahan api biojisim bagi pengeluaran SAF, beberapa negara dan rantau muncul sebagai kawasan panas.

Di China dan ASEAN, terutamanya Indonesia dan Malaysia, juga dijangka muncul sebagai kawasan panas bagi bahan mentah yang kritikal. 

Bersama-sama, negara tersebut akan menyumbang kira-kira 240 Mt bahan mentah bahan api biojisim bagi pengeluaran SAF menjelang 2050, mewakili kira-kira 15 peratus daripada jumlah global.

Negara itu mempunyai industri bahan api bio dan menawarkan potensi yang besar untuk mengeluarkan SAF daripada biojisim. 

Di Malaysia, kerajaan telah melancarkan dan mempercepatkan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen dan Teknologi (HETR) serta Pelan Tindakan Penyahkarbonan Sektor Penerbangan Malaysia (MADB) untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. 

 

Penelitian dan merapatkan jurang dasar

Walaupun rantau ini mempunyai sumber dan potensi yang besar, Thomsen berkata kemajuan Asia Pasifik dalam membangunkan SAF akan bergantung kepada penyelarasan dasar yang lebih kukuh dan kaedah kawal selia yang lebih jelas. 

“Bahan mentah, modal dan teknologi sudah ada. Dengan rangka kerja dasar yang tepat, semua elemen ini boleh bersama-sama memacu pengeluaran SAF secara berskala,” katanya. 

Beliau berkata jenis bahan mentah berbeza di seluruh negara, dengan sesetengahnya sesuai untuk bioSAF dan lain kepada kuasa-ke-cecair (eSAF), bergantung kepada ketersediaan tanah, angin dan solar. 

Oleh itu beliau menegaskan bahawa setiap negara boleh mewujudkan kaedah mereka sendiri bagi disesuaikan dengan keadaan tempatan. 

“Ia merupakan sesuatu yang boleh dilakukan oleh setiap negara mengikut tahap yang berbeza. 

“Persoalannya ialah sama ada kerajaan mahu terlibat dalam usaha mewujudkan pasaran ini.

“Jika tidak, apakah strategi pertumbuhan alternatif mereka,” katanya. 

 

Peralihan tenaga mesti bermula dengan tenaga boleh baharu, bukannya penerbangan 

Thomsen menekankan bahawa pengeluaran SAF tidak boleh dipercepatkan secara berasingan dan mesti menjadi sebahagian daripada pelan tenaga negara yang lebih luas. 

“Anda tidak boleh memulakan perbincangan berdasarkan maklumat penerbangan. Anda mesti bermula dengan penjanaan tenaga boleh baharu.

“Negara memerlukan lebih banyak solar, lebih banyak angin dan grid tenaga yang lebih kuat.

“Hanya selepas itu, industri termasuk penerbangan boleh melaksanakan penyahkarbonan,” katanya. 

Pada masa sama, beliau mengingatkan kerajaan di Asia Pasifik agar tidak terlalu memberi tumpuan kepada dasar perindustrian dan projek digital dengan mengabaikan pelaburan dalam tenaga yang asas. 

“Secara asasnya, tenagalah yang memacu ekonomi anda. Kita memerlukan tenaga yang murah, mampan dan mudah diakses oleh semua orang.

“Apabila ia sudah tersedia, anda boeh menghasilkan bahan api boleh baharu, dan pada akhir rantaian itu, bahan api boleh baharu bagi penerbangan,” katanya. 

Sementara itu, IATA menganggarkan pelaburan tahunan purata yang diperlukan untuk menjamin penggunaan SAF syarikat penerbangan dan memenuhi kebanyakan keperluan penyahkarbonan industri ialah  US$174 bilion sepanjang 2024-2050. 

 

 

Kargo udara menyumbang kepada nilai ekonomi penerbangan

Merujuk kepada corak perdagangan global tahun ini, Thomsen berkata peranan penerbangan dalam memastikan daya tahan ekonomi sering dipandang rendah. 

Di sebalik kesan tarif Amerika Syarikat, kargo udara membolehkan China dan pengeksport dari negara Asia lain untuk mengubah arah aliran perdagangan dengan cepat, sekali gus menghalang kemelesetan global yang lebih ketara. 

“Kargo udara telah menyelamatkan ekonomi global. Kaedah pengangkutan lain terlalu perlahan. 

“Tanpa kargo udara, pertumbuhan perdagangan tidak akan berlaku,” katanya. 

Tambahnya, dengan ini, ia mengukuhkan nilai ekonomi dengan lebih luas menjangkaui ketersambungan penumpang. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan