KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Small Medium Enterprise Development Bank Bhd (SME Bank) menyalurkan pembiayaan bernilai lebih RM50 bilion kepada kira-kira 26,000 usahawan sejak penubuhannya pada 2005, sekali gus membina legasi sokongan keusahawanan yang transformatif serta menyumbang kepada pembangunan negara.
Menerusi kenyataannya hari ini, SME Bank berkata melangkaui pembiayaan, bank itu telah memperkasa lebih 90,000 usahawan dan memperkukuh ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia dengan pencapaian pembangunan dan prestasi selaras Kerangka Pengukuran Prestasi Bank Negara Malaysia serta Kerangka Ekonomi Kerajaan MADANI.
Pemangku Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Samad Majid Zain berkata SME Bank telah meluluskan pembiayaan berjumlah lebih RM4 bilion yang merangkumi hampir 700 PKS dan mengukuhkan lagi peranannya sebagai antara institusi kewangan pembangunan yang inklusif dan berimpak tinggi.
“Malaysia mempunyai 1.08 juta PMKS yang mewakili 96.1 peratus daripada jumlah keseluruhan perniagaan dengan perusahaan mikro merangkumi lebih 70 peratus. Segmen ini juga terus menjadi pemacu pertumbuhan negara dengan menyumbang RM652.4 bilion atau 39.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar pada 2024.
“Mandat kami juga sentiasa jelas iaitu memperkasa ekosistem PKS sepanjang kitaran hayat mereka,” katanya.
Selain itu, Samad Majid berkata SME Bank mengguna pakai pendekatan pembangunan holistik bagi memperkukuh keupayaan keusahawanan.
Inisiatif Beyond Financing misalnya, menyediakan program pembangunan kapasiti, termasuk bimbingan perniagaan, sokongan akses pasaran dan inisiatif peningkatan kemahiran digital iaitu Maju Usahawan MADANI, Program Pembangunan Keusahawanan Halal, Program Pembangunan Kapasiti Vendor dan Program Eksport Perniagaan.
Menyentuh prospek masa depan, beliau berkata SME Bank akan terus memperkukuh ekosistem PMKS melalui penyelesaian pembiayaan sasaran serta program pembangunan kapasiti yang meningkatkan daya saing, ketahanan dan inovasi.
“Hala tuju ini diperkukuhkan lagi melalui pengumuman Belanjawan 2026 yang memberi mandat kepada SME Bank untuk melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bernilai hampir RM2 bilion,” katanya.
Pada masa sama, Samad Majid berkata bank itu akan terus mengutamakan sektor berpotensi tinggi, termasuk perusahaan bumiputera, penggunaan teknologi dan digital, industri selari dengan iklim serta ekosistem halal dan pelancongan bagi memacu pertumbuhan mampan serta memajukan landskap PKS negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial