KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun menyalakan semula peluang mara ke separuh akhir kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF 2025 selepas menewaskan pasangan Taiwan Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin pada aksi kedua Kumpulan A hari ini.
Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou itu, Wei Chong-Kai Wun tidak berdepan masalah untuk menang straight set 21-18, 21-19 dalam tempoh 34 minit.
Ini merupakan kemenangan pertama buat pasangan negara itu di kejohanan berkenaan selepas tewas pada aksi pembukaan semalam.
Gandingan ranking empat dunia itu bakal berdepan tugas getir esok apabila menentang pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dalam aksi terakhir Kumpulan A.
Dalam pada itu, nasib berbeza menimpa pasangan beregu lelaki nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tewas kepada gandingan China, Liang Wei Keng-Wang Chang 14-21, 18-21 dalam tempoh 44 minit.
Keputusan itu meletakkan Aaron-Wooi Yik dalam situasi wajib menang pada perlawanan esok menentang wakil India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty untuk membuka semula peluang mara ke separuh akhir.
Mengikut format kejohanan, dua beregu terbaik setiap kumpulan akan mara ke pusingan separuh akhir yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial