KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Pasaran pinjaman perumahan Malaysia diiktiraf sebagai paling mesra peminjam dalam kalangan enam negara Asia Pasifik, mengatasi Indonesia, Vietnam, Thailand, Korea Selatan dan Jepun, kata kumpulan teknologi hartanah antarabangsa, Juwai IQI.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kashif Ansari kumpulan itu berkata persekitaran tersebut membantu pembeli dan pemilik rumah memperkukuh kebebasan kewangan mereka.
"Ia juga menyumbang kepada kestabilan serta kebolehjangkaan pasaran perumahan, sekali gus memberikan manfaat bersih yang besar kepada negara secara keseluruhan.
“Disebabkan sistem kewangan dan persekitaran kawal selia Malaysia yang kukuh, pembeli rumah di Malaysia membayar kurang daripada separuh kos pinjaman perumahan berbanding pembeli di Indonesia,” katanya.
Faktor itu kata beliau menjadikan Malaysia antara pasaran paling stabil dan mesra peminjam dalam kalangan negara Asia Pasifik.
Kashif turut berkata peminjam di Malaysia mendapat manfaat daripada tahap ketelusan yang jarang ditemui di Asia Tenggara, sekali gus melindungi mereka daripada kadar promosi rendah yang boleh melonjak selepas tiga tahun dan menyebabkan bayaran pinjaman perumahan meningkat kira-kira 50 peratus, seperti yang berlaku di Thailand dan Vietnam.
Malaysia juga unik kerana pihak bank diwajibkan bersikap telus mengenai caj yang dikenakan ke atas peminjam, kata beliau.
"Contohnya, bank mengenakan kadar tambahan di atas Kadar Asas Standard (SBR). Jika sebuah bank menawarkan ‘SBR + 1.45 peratus’ manakala sebuah lagi menawarkan ‘SBR + 2.0 peratus’, peminjam mengetahui dengan jelas bahawa pinjaman perumahan mereka akan lebih murah dengan tawaran pertama,” katanya.
Pada masa sama, Kashif berkata ramai pembeli rumah kali pertama di Malaysia turut menikmati pengecualian duti setem sepenuhnya, sambil menambah bahawa menerusi Belanjawan terkini, kerajaan melanjutkan pengecualian tersebut bagi pembeli rumah pertama berharga sehingga RM500,000 sehingga 31 Dis, 2027.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial