BANGKOK, 18 Dis (Bernama) -- Angin kencang yang melanda venue pertandingan tidak menghalang skuad memanah compound berpasukan lelaki negara untuk menghadiahkan pingat emas selepas menewaskan tuan rumah Thailand pada aksi final Sukan SEA 2025, hari ini.
Beraksi di Lapang Sasar Memanah, Sports Authority of Thailand, trio memanah compound Mohd Juwaidi Mazuki, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli dan Muhammad Aiman Syafiq Mohd Tariki mempamerkan ketenangan tinggi dalam keadaan cuaca mencabar bagi mencatat kemenangan 232-228.
Pasukan Thailand yang dibarisi Sippakorn Kohkaew, Peerapat Pattanapongkiat dan Ratandanai Wongtana terpaksa akur dengan keunggulan wakil negara.
Kejayaan itu sekali gus menebus kekecewaan meraih pingat perak pada edisi 2021 di Hanoi.
Pingat gangsa acara berkenaan dimenangi Vietnam selepas menewaskan Indonesia pada aksi penentuan tempat ketiga.
Seorang daripada pemanah, Muhammad Aiman Syafiq menyifatkan kejayaan itu sebagai pencapaian cukup bermakna buat dirinya.
“Syukur Alhamdulillah, penampilan pertama saya di Sukan SEA berjaya membutirkan pingat emas. Kejayaan ini banyak dibantu oleh pengalaman pemanah senior,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial