WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TAHAP PEMASANGAN CCTV DI PREMIS PERSENDIRIAN DI KELANTAN BELUM MENYELURUH - POLIS

18/12/2025 02:38 PM

KOTA BHARU, 18 Dis (Bernama) -- Tahap pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di Kelantan, khususnya di premis persendirian dan perniagaan, masih belum menyeluruh meskipun teknologi itu terbukti berkesan dalam membantu pencegahan jenayah dan siasatan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata hasil kajian yang dijalankan mendapati masih terdapat jurang dari segi pemasangan CCTV di premis tertentu, walaupun keperluannya semakin kritikal dalam usaha memperkukuh keselamatan awam.

Beliau berkata daripada kajian yang dilakukan, sebanyak 67 premis kesihatan, 145 institusi pendidikan dan 180 pejabat pentadbiran kerajaan dikenal pasti mempunyai CCTV, manakala bagi premis swasta sejumlah 241 premis kesihatan, 266 institusi pendidikan serta 577 premis perniagaan memiliki kemudahan itu.

Mohd Yusoff berkata pemasangan CCTV di masjid juga didapati tinggi dengan 302 premis.

Mengulas statistik jenayah, beliau berkata bagi tempoh Januari hingga November, sebanyak 1,457 kes pecah rumah direkodkan, dengan hanya 37 kes melibatkan premis yang dilengkapi CCTV, manakala lebih 200 kes berlaku di lokasi tanpa kemudahan berkenaan.

“Bagi premis perniagaan, jumlah kes hampir seimbang antara yang mempunyai dengan tidak mempunyai CCTV, manakala bagi premis kerajaan, sebahagian besar lokasi sudah ada kemudahan itu,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Disember di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata secara keseluruhan, majoriti kes pecah rumah dan curi melibatkan premis yang tidak dipasang CCTV, sekali gus menunjukkan keperluan untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penggunaan teknologi keselamatan berkenaan.

Sehubungan dengan itu, beliau menggalakkan orang ramai supaya memasang CCTV di kediaman dan premis masing-masing kerana teknologi terkini membolehkan pemantauan dilakukan secara langsung melalui telefon pintar serta memberikan amaran awal sekiranya berlaku pencerobohan.

Mohd Yusoff turut menyeru pihak berkuasa tempatan agar mempertimbangkan pemasangan CCTV di jalan raya dan kawasan awam bagi membantu pencegahan jenayah serta pengurusan lalu lintas.

Beliau berkata pemantauan CCTV yang dilaksanakan secara menyeluruh di negara maju terbukti membantu meningkatkan tahap keselamatan dan keyakinan masyarakat.

Sementara itu, Mohd Yusoff mengesahkan seorang pegawai polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, disiasat selepas disyaki mencabul seorang wanita di dalam sebuah kereta di Pasir Mas, pada Rabu lepas.

“Pegawai polis berkenaan berumur lingkungan 30-an, manakala mangsa berusia 20-an yang merupakan isteri kepada seorang tahanan, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 345 Kanun Keseksaan,” katanya.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan