WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TUDM TERIMA TIGA DRON ANKA FEB INI, PERKUKUH PENGAWASAN DI LAUT CHINA SELATAN

18/12/2025 03:20 PM

SUBANG, 18 Dis (Bernama) -- Tiga pesawat tanpa pemandu ANKA buatan Turkiye yang akan diterima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Februari depan bakal memperkukuh keupayaan perisikan, pengawasan dan peninjauan di Laut China Selatan.

Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata tiga dron Medium Altitude Long Endurance-Unmanned Aerial System (MALE-UAS) itu bersama Ground Station Control (GCS) akan dibawa dari Turkiye melalui jalan laut.

“Aset berkenaan kini berada di atas kapal untuk penghantaran ke Malaysia. Perjalanan tersebut dijangka mengambil masa kira-kira 45 hari, insya-Allah menjelang akhir Januari ketiga-tiga pesawat bersama GCS itu akan tiba di Labuan,” katanya pada sidang media sempena Hari Kecemerlangan TUDM di sini hari ini.

Muhamad Norazlan berkata dron berkenaan yang akan ditempatkan di Pangkalan Udara Labuan sebagai pelengkap kepada pesawat pengawasan maritim CN-235 (MSA) sedia ada milik TUDM, dengan fokus kepada operasi di utara Sabah.

“Pesawat CN-235 MSA mempunyai had dalam misi tertentu, maka kehadiran ANKA merupakan peningkatan keupayaan yang penting. Dengan atur gerak ini, kita akan dapat memantau kawasan sekitar dan mengambil tindakan susulan yang berkesan jika perlu,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, beliau memaklumkan TUDM berhasrat untuk membuat perolehan lebih banyak dron di bawah Fasa Dua Pelan Pembangunan Keupayaan 2055 (CAP55).

“Program ini distrukturkan dalam tiga fasa dan di bawah pelan CAP55 semasa, sasaran awal kita adalah sembilan buah dron. Selepas menilai prestasi pesawat yang diterima sekarang, kita akan menentukan jumlah sebenar yang diperlukan namun buat masa ini sasaran kita kekal sembilan buah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Norazlan berkata projek pesawat peronda maritim Leonardo ATR-72 berjalan lancar dengan kemajuan kerja 60 peratus setakat ini.

Beliau berkata pengubahsuaian dan kerja memperkukuhkan struktur sedang dijalankan bagi menempatkan sensor canggih pada pesawat itu dan ia dijangka siap sebelum April 2027, tertakluk kepada penghantaran dua sistem utama dari Amerika Syarikat.

Sekiranya segala berjalan lancar, beliau berkata pesawat tersebut dijangka akan diperkenalkan kepada umum semasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2027 (LIMA ‘27).

--BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan