JITRA, 18 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 331 kilogram (kg) dadah bernilai hampir RM11 juta, awal bulan ini.
Tertuduh, Muhammad Chemudo, 37, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine di kawasan hutan sekitar Durian Burung, Daerah Padang Terap, pada pukul 7 pagi, 9 Dis lepas.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dalam perkembangan lain, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badannya di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap, pada 9.25 malam, hari yang sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nasruna Anhar Nordien, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 21 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan jurubahasa bahasa Thailand.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial