WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DUA NELAYAN SELAMAT BOT KARAM DI PERAIRAN TANJUNG PIAI

18/12/2025 05:38 PM

PONTIAN, 18 Dis (Bernama) -- Tindakan pantas komuniti nelayan setempat dengan koordinasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor berjaya membantu menyelamatkan dua nelayan selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Tanjung Piai di sini, awal pagi tadi.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan kecemasan pada 6 pagi memaklumkan sebuah bot nelayan karam kira-kira 2.9 batu nautika timur laut Tanjung Piai.

“Sejurus maklumat diterima, Bot Perkasa 42 telah diatur gerak ke lokasi bagi memantau keadaan dan melaksanakan operasi susulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira 5 pagi apabila bot mangsa dipukul ombak menyebabkan bot menjadi tidak stabil sebelum terbalik.

“Kedua-dua mangsa sempat berpaut pada bot dan menghubungi bantuan sebelum diselamatkan oleh nelayan dari Jeti Pengkalan Kampung Pok,” katanya.

Kama Azri berkata mangsa yang berusia 57 dan 47 tahun dibawa ke Jeti Forest City dan disahkan selamat serta tidak memerlukan rawatan perubatan lanjut, manakala bot nelayan itu ditunda ke daratan berhampiran.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada komuniti nelayan atas tindakan pantas membantu menyelamatkan mangsa, di samping menegaskan kepentingan kerjasama erat antara komuniti maritim dan agensi penguat kuasa dalam memastikan keselamatan nyawa di laut.

Komuniti nelayan juga, katanya diingatkan supaya sentiasa peka terhadap keadaan cuaca, memastikan bot berada dalam keadaan selamat serta membawa peralatan komunikasi dan keselamatan mencukupi sebelum turun ke laut.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan