WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERJASAMA YADIM DAN 27 IPT PERKUKUH AGENDA DAKWAH NEGARA - ZULKIFLI

18/12/2025 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Kerjasama antara Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan 27 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) ialah inisiatif terbesar pernah dilaksanakan bagi memperkasakan agenda dakwah negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata kerjasama melibatkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama 27 IPTA dan IPTS itu merangkumi pelbagai bidang, termasuk penyediaan modul, penerbitan, penulisan serta penglibatan kepakaran akademik untuk menyokong gerak kerja dakwah secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.

Beliau berkata cabaran dan realiti semasa yang semakin rumit dan kompleks menuntut input serta bimbingan daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT), khususnya melalui penyelidikan dan kajian bagi memastikan setiap inisiatif dilaksanakan lebih tuntas, sistematik dan memberikan kesan nyata kepada masyarakat.

“Kerjasama ini penting kerana kita mahu memanfaatkan kepakaran yang ada di universiti untuk bersama-sama mengorak langkah lebih baik agar agenda dakwah dapat dilaksana berasaskan ilmu dan selari dengan keperluan semasa,” katanya pada pemberita selepas majlis penandatangan MoU itu di Masjid Wilayah, di sini hari ini.

Turut hadir menyaksikan pemeteraian MoU itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Zulkifli berkata hubungan kerjasama dan gerak kerja antara YADIM dan pihak universiti sudah lama terjalin termasuk menerusi penglibatan rakan siswa, namun pendekatan kali ini lebih menyeluruh kerana memberikan penekanan kepada penggunaan kepakaran akademik secara optimum.

MoU berkuat kuasa selama tiga hingga lima tahun itu, antara lain memperkukuh agenda dakwah selaras dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan nilai akhlak, ilmu dan kesejahteraan masyarakat.

Antara IPTA terlibat ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), manakala IPTS termasuk Universiti Selangor (UNISEL) dan Multimedia University (MMU).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan