WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HARIMAU MUDA RAIH GANGSA, AKHIRI KEMARAU PINGAT LAPAN TAHUN

18/12/2025 09:02 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

BANGKOK, 18 Dis (Bernama) --Malaysia menamatkan kemarau pingat acara bola sepak lelaki di pentas Sukan SEA selepas lapan tahun apabila menewaskan Filipina 2-1 dalam aksi penentuan pingat gangsa pada edisi ke-33 di Stadium Nasional Rajamangala, di sini, hari ini.

Kejayaan itu menyaksikan skuad Harimau Muda kembali menaiki podium buat pertama kali sejak meraih perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, sekali gus menebus kekecewaan tersingkir tanpa pingat pada tiga edisi terdahulu.

Pada pertembungan hari ini, anak buah Mohd Nafuzi Zain bermula agresif dan hampir membuka jaringan pada minit ke-27 menerusi rembatan kencang Muhammad Haqimi Azim Rosli dari luar kotak penalti, namun penjaga gol Filipina, Nicholas Guimares berjaya menepis keluar percubaan itu.

Gol pembukaan Malaysia hadir seminit kemudian apabila Danish Hakimi Sahaludin pantas menolak masuk bola dalam keadaan kelam-kabut di hadapan gawang selepas Guimares gagal mengeluarkan bola sepakan penjuru.

Bagaimanapun, Filipina berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol sendiri Muhammad Haqimi pada minit ke-36.

Namun, penyerang Kuala Lumpur City FC itu menebus kesilapannya dengan menghadiahkan gol kemenangan Malaysia pada minit ke-43 apabila bijak menggelecek Guimares yang meninggalkan kawasannya, sebelum tenang melepaskan rembatan leret ke dalam gawang.

Kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus mengesahkan kilauan gangsa buat Malaysia dan menamatkan kemarau pingat bola sepak lelaki negara pada temasya sukan dwitahunan itu.

Sebagai rekod, Malaysia tersingkir pada peringkat kumpulan masing-masing pada edisi 2019 di Filipina dan edisi 2023 di Kemboja.

Pada edisi 2021 di Vietnam, hasrat pasukan negara untuk membawa pulang pingat tidak kesampaian selepas dikecewakan Indonesia dalam perlawanan penentuan tempat ketiga yang berakhir 1-1, sebelum menang 4-3 melalui sepakan penalti.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan