WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AFGHANISTAN HASRAT JALIN HUBUNGAN GLOBAL POSITIF BERASASKAN PRINSIP SALING MENGHORMATI

18/12/2025 10:54 PM

Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi

KUALA LUMPUR, Dis 18 (Bernama) -- Afghanistan berhasrat mengekalkan hubungan positif bukan sahaja dengan negara serantau, malah dengan semua negara berasaskan prinsip saling hormat dan kepentingan bersama.

Pengarah Pusat Kajian Strategik (CSS) Afghanistan Dr Abdul Hai Qanit berkata negara itu berusaha memajukan kerjasama menerusi dialog, libat urus dan interaksi positif.

“Kami amat percaya bahawa dialog, libat urus dan interaksi positif merupakan satu-satunya laluan mampan ke arah membina keyakinan,” katanya ketika berucap pada ceramah khas bertajuk “Understanding Afghanistan and Its Governance in the Current Geopolitical Dynamics” yang diadakan di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) di sini pada Khamis.

CSS merupakan sebuah agensi akademik di bawah Kementerian Luar Afghanistan yang dipertanggungjawabkan untuk memperkukuh dan mempromosikan diplomasi berasaskan pengetahuan, menjalankan penyelidikan dan analisis mengenai krisis semasa, serta menasihati kementerian berhubung perkembangan rentas sempadan.

Beliau berkata dasar luar Afghanistan berpaksikan kepada keseimbangan dan pragmatisme ekonomi.

“Asas dasar kami berakar umbi pada nilai agama dan nasional rakyat Afghanistan. Kami tidak melihat dasar luar melalui lensa "jumlah sifar". Hubungan Afghanistan dengan sesebuah negara tidak menjejaskan hubungan dengan negara lain,” tegas Qanit.

Mengenai hubungan dengan negara-negara Asia Tenggara, beliau menyifatkan Malaysia sebagai rakan penting untuk hubungan yang saling menguntungkan.

Beliau menarik perhatian bahawa Afghanistan dan Malaysia, sebagai negara Islam, berkongsi persamaan intelektual dan normatif yang signifikan dalam banyak isu antarabangsa, sambil menambah ia merupakan aset yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

Qanit berkata Afghanistan turut menawarkan peluang besar kepada Malaysia dalam bidang perdagangan, kepakaran dan pengetahuan teknologi, dengan ruang kerjasama bagi kedua-dua pihak untuk menyokong pembangunan Afghanistan.

Beliau berkata sebagai sebuah ekonomi yang sedang membangun, Afghanistan memerlukan pelbagai barangan dan perkhidmatan dari Malaysia, manakala kepakaran Malaysia dalam bidang seperti pendidikan, pertanian dan dasar pembangunan ekonomi menawarkan kerjasama bermakna dengan sektor kerajaan dan swasta Afghanistan.

Beliau berkata perdagangan antara kedua-dua negara mencecah kira-kira US$200 juta dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, satu peningkatan yang sebahagian besarnya didorong oleh sektor swasta.

Sementara itu, Pengerusi IAIS Prof Dr Maszlee Malik berkata Malaysia perlu merebut peluang untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dengan Afghanistan, memandangkan negara itu kini memberi tumpuan lebih kepada agenda geoekonomi berbanding geopolitik.

“Afghanistan baharu lebih memberi tumpuan kepada geoekonomi. Oleh itu, Malaysia perlu memperhebat hubungan perdagangan dengan meneroka bidang yang boleh memberi manfaat bersama,” katanya kepada pemberita.

Maszlee menambah bahawa IAIS bersedia menawarkan kepakarannya dalam latihan dan penyelidikan, selain bertindak sebagai penghubung dengan institusi pendidikan Malaysia bagi menyokong agenda pembinaan semula Afghanistan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan