WILAYAH - UTARA > BERITA

POLIS SAHKAN KEJADIAN VIDEO TULAR PELAJAR TAHFIZ DIROTAN BERLAKU DI KEDAH

20/12/2025 07:56 PM

ALOR SETAR, 20 Dis (Bernama) -- Polis mengesahkan kejadian yang memaparkan seorang pelajar tahfiz dirotan oleh seorang lelaki yang tular di media sosial baru-baru ini berlaku di sebuah maahad tahfiz di Sungai Kob, dekat Kulim pada September lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata kejadian yang berlaku pada 29 Sept itu melibatkan seorang murid lelaki berusia 11 tahun.

“Kejadian kira-kira 2 pagi itu berlaku apabila seorang lelaki yang dipercayai warden maahad tahfiz itu merotan murid berkenaan kerana telah menganggu murid-murid lain yang sedang belajar. Murid yang tinggal di Padang Serai itu baru masuk ke maahad tahfiz berkenaan kira-kira tujuh bulan lepas.

“Apabila ibu bapa murid itu mengambil anak mereka, didapati terdapat kesan lebam pada anggota badannya. Bapa murid itu kemudiannya membuat laporan polis pada 3 Okt dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan pada awalnya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Adzli berkata warden lelaki yang berusia 26 tahun itu telah diambil keterangan dan buat masa ini masih belum ada tangkapan dibuat.

Beliau berkata pihaknya yang kemudiannya mendapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian itu telah menghantar bukti berkenaan kepada pihak pendakwa raya pada 18 Dis lepas dan sedang menunggu arahan selanjutnya.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya. Nanti saya akan maklumkan perkembangan kes,” katanya.

Terdahulu, tular di laman media sosial satu video berdurasi 48 saat yang memaparkan seorang murid lelaki yang dilihat sedang menahan kesakitan ketika dirotan oleh seorang lelaki di dalam bilik asrama di hadapan rakan-rakannya yang lain.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan