WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA KECAM SEKERAS-KERASNYA TINDAKAN ISRAEL LARANG OPERASI ORGANISASI BANTUAN KEMANUSIAAN DI GAZA

01/01/2026 12:44 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keputusan rejim Zionis Israel untuk melarang dan menggantung operasi sebilangan besar organisasi bantuan kemanusiaan antarabangsa di Gaza.

Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan bahawa tindakan itu merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Menurut Wisma Putra, langkah itu akan terus memburukkan lagi krisis dan malapetaka kemanusiaan yang sedia ada meruncing susulan perang rejim itu terhadap penduduk di wilayah Palestin yang telah berlarutan selama lebih dua tahun.

“Halangan terhadap bantuan kemanusiaan merupakan hukuman kolektif ke atas orang awam dan menjejaskan sifat berkecuali serta kebebasan petugas kemanusiaan.

Rejim Israel diwajibkan secara sah di bawah Konvensyen Geneva Keempat untuk memastikan akses kemanusiaan tanpa halangan ke Gaza,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata Malaysia menggesa komuniti antarabangsa bertindak tegas bagi memaksa Israel membatalkan keputusannya dengan serta-merta dan memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan sepenuhnya tanpa sekatan, atau rejim itu perlu dipertanggungjawabkan atas pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Malaysia turut menegaskan semula solidariti yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan akan terus memperjuangkan penamatan pencerobohan Israel, penarikan balik sekatan ke atas Gaza, serta penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan