WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JSPT N.SEMBILAN KELUAR 260 SAMAN DALAM OPERASI AMBANG TAHUN BAHARU

01/01/2026 02:54 PM

SEREMBAN, 1 Jan (Bernama) -- Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan mengeluarkan 260 saman atas pelbagai kesalahan menerusi pemeriksaan terhadap 560 kenderaan dalam Operasi Bersepadu di beberapa lokasi sempena Sambutan Tahun Baharu 2026.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata operasi dari 9 malam tadi hingga 7 pagi hari ini menemukan pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, tidak mematuhi had umur dan ubah suai ekzos.

“Polis turut menyita 10 kenderaan dan menahan lapan lelaki dalam lingkungan 14 hingga 23 tahun mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Polis Kontinjen Negeri Sembilan mencatatkan jumlah kutipan kompaun sebanyak RM4.88 juta menerusi Program Diskaun Saman PDRM 70 peratus dari 1 Nov hingga 30 Dis 2025.

Alzafny berkata daripada jumlah itu, pembayaran secara tunai menyumbang RM2.28 juta bagi 30,592 saman manakala bakinya secara elektronik yang melibatkan 35,662 saman. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan