WILAYAH - SARAWAK > BERITA

9 TERBUNUH DALAM SERANGAN SEMASA SAMBUTAN AMBANG TAHUN BAHARU DI NIGERIA

02/01/2026 11:09 AM

LAGOS (Nigeria), 2 Jan (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh ditembak oleh kumpulan bersenjata semasa sambutan ambang Tahun Baharu di negeri Plateau, tengah-utara Nigeria, menurut pihak berkuasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Serangan di kampung Chigwi, daerah Vwang, dalam kawasan kerajaan tempatan Jos South itu berlaku lewat Rabu ketika penduduk berkumpul untuk sambutan tradisi malam peralihan tahun baharu.

Setiausaha kepada ketua daerah Vwang, Iliya Chung, memberitahu Anadolu melalui telefon bahawa mangsa terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak.

“Pada mulanya enam mayat ditemukan pada Rabu, namun jumlah korban meningkat kepada sembilan menjelang awal Khamis selepas beberapa mangsa lain meninggal dunia di hospital,” katanya.

Pihak berkuasa tempatan menggantung semua sambutan Tahun Baharu yang dirancang, termasuk satu acara yang dijadual dihadiri oleh gabenor negeri berkenaan.

Negeri Plateau telah lama berdepan dengan episod keganasan berkala yang dikaitkan dengan pertempuran antara kumpulan militia bersenjata, konflik kalangan penternak dan petani serta kegiatan penyamun.

Pada April 2025, sekurang-kurangnya 51 orang terbunuh dalam beberapa siri serangan bersenjata di kawasan Zike dan Bassa, menunjukkan masalah keselamatan yang berulang di seluruh negeri itu.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan