WILAYAH - UTARA > BERITA

LEBIH RM32 JUTA AGIHAN WANG ZAKAT MENERUSI KAYUHAN MAIPS PEDULI

06/01/2026 11:52 AM

KANGAR, 6 Jan (Bernama) -- Jumlah agihan wang zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerusi pelaksanaan 1,069 Program Kayuhan MAIPs Peduli sejak 2013 ialah lebih RM32 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor berkata usaha itu memberi manfaat kepada 49,800 penerima sehingga kini yang mencerminkan iltizam berterusan mereka memperkasakan kebajikan golongan asnaf di Perlis.

“MAIPs mengadakan 91 siri kayuhan berbasikal MAIPs Peduli bagi menyalurkan bantuan agihan zakat berjumlah lebih RM2.7 juta sepanjang 2025 yang memberi manfaat kepada 4,375 asnaf di seluruh negeri.

“Kesemua sesi kayuhan ini diketuai Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs yang berkenan menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada penerima terpilih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nazim berkata pelaksanaannya melibatkan kunjungan ke masjid, kampung dan sekolah di hampir seluruh negeri untuk mendekati serta menyelami keperluan asnaf secara lebih menyeluruh dan berkesan.

Beliau berkata program itu juga mendapat kerjasama pelbagai jabatan dan agensi negeri serta Persekutuan bagi memastikan kelancaran dan kejayaan pelaksanaannya.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan penghargaan kepada penyumbang zakat melalui MAIPs dan berterima kasih kepada semua terlibat dalam program itu, khususnya warga kerja MAIPs serta rakan strategik yang bertungkus lumus menjayakan pelaksanaannya.

Baginda turut menzahirkan harapan agar pelaksanaan Kayuhan MAIPs Peduli yang diteruskan tahun ini dapat diperkasakan menerusi pendekatan lebih berimpak, holistik serta efisien selari komitmen berterusan membantu dan meningkatkan kesejahteraan golongan asnaf untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan