WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEKTOR PENGGUNA BAKAL RAIH MANFAAT SUSULAN PELARASAN GAJI FASA 2 SSPA, SARA 2.0 – HLIB

08/01/2026 01:18 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Sektor pengguna Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan pendapatan boleh guna susulan pelarasan gaji Fasa 2 Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) selain pelaksanaan berterusan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), demikian menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).

Dalam nota penyelidikannya hari ini, HLIB menyatakan walaupun sentimen pengguna mengutamakan nilai, namun perbelanjaan bagi tujuan barangan keperluan serta prospek pasaran runcit massa diunjur kekal kukuh.

Selain itu, bank pelaburan itu berkata momentum pelancongan yang kukuh dan dipacu oleh kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) juga menjadi faktor tambahan dalam menyokong perbelanjaan pengguna.

“Prospek bagi sektor pengguna Malaysia untuk separuh pertama 2026 kekal stabil, didorong oleh keadaan makroekonomi, bantuan subsidi bersasar serta perbelanjaan berkaitan pelancongan,” katanya.

HLIB berkata keadaan itu turut dibantu oleh perbelanjaan perayaan akan datang seperti Tahun Baharu Cina pada Februari dan seterusnya Aidilfitri pada Mac yang akan meningkatkan prestasi suku pertama, menyokong aktiviti runcit serta makanan dan minuman dalam jangka pendek.

Sehubungan itu, bank berkenaan mengekalkan saranan “overweight” atau wajaran tinggi terhadap sektor pengguna atas alasan dinamik pendapatan yang makin baik, sokongan fiskal berterusan dan permintaan kukuh terhadap barangan keperluan.

“Walaupun tekanan margin dan kelemahan perbelanjaan bukan keperluan kekal sebagai risiko, kami percaya masih wujud pemangkin dari sisi permintaan yang terus menyokong prospek keuntungan bagi syarikat pengguna pasaran massa yang menumpukan keperluan asas serta berkaitan pelancongan pada separuh pertama 2026,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan