KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Malaysia dan Turkiye memperkukuh komitmen masing-masing untuk mengeratkan lagi kerjasama strategik komprehensif pada mesyuarat pertama Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC) yang berlangsung di Ankara.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar hari ini, kedua-dua pemimpin turut menegaskan semula persahabatan yang telah lama terjalin, nilai demokrasi yang dikongsi dan hubungan budaya yang menjadi asas antara Malaysia dan Turkiye, selain mengulangi komitmen bersama untuk mempromosikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di peringkat dua hala, serantau dan global.
Kenyataan itu memaklumkan kedua-dua pemimpin turut menzahirkan rasa puas hati dengan perjanjian yang dimeterai semasa lawatan Anwar ke Turkiye, terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, teknologi maklumat dan komunikasi serta industri pertahanan.
“Mengenai kerjasama ekonomi, kedua-dua pihak mencatat pertumbuhan mantap dalam perdagangan dua hala dan mengulangi hasrat mereka untuk mencapai sasaran USD10 bilion, sambil menekankan kepentingan memanfaatkan sepenuhnya Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turkiye serta memperluas kerjasama dalam sektor baharu termasuk pertanian, pembuatan, perdagangan digital dan perkhidmatan.
“Mereka turut mengulangi komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam ekonomi halal global,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin juga mencapai kata sepakat untuk memperkukuh pelaburan dua hala, memperluas kerjasama dalam logistik, kesalinghubungan maritim, pembangunan pelabuhan, penerbangan dan koridor ekonomi yang sedang muncul menghubungkan Eropah, Timur Tengah dan Asia Pasifik serta mempromosi kerjasama antara perusahaan kecil dan sederhana di kedua-dua negara.
“Dalam konteks ini, kedua-dua pemimpin menekankan peranan penerbangan awam dalam meningkatkan hubungan dan mendorong rundingan berterusan antara pihak berkuasa penerbangan awam untuk menyokong operasi pengangkutan udara yang cekap dan lestari termasuk perkhidmatan kargo udara serta penumpang.
“Mereka menyambut baik penglibatan antara komuniti perniagaan kedua-dua negara semasa Mesyuarat Meja Bulat Perniagaan Malaysia-Turkiye yang diadakan pada kesempatan ini,” menurut kenyataan itu.
Dalam bidang pertahanan dan keselamatan, kedua-dua pihak mengiktiraf kepentingan strategik kerjasama dua hala terutama dalam bidang sains ketenteraan dan pertahanan, teknologi dan industri selain bersetuju memperkukuh kerjasama dalam projek teknologi tinggi berkepentingan bersama ke arah memperkasakan ekosistem industri pertahanan bersama.
“Kedua-dua pihak turut komited untuk meningkatkan pembangunan keupayaan ketenteraan melalui peluang pendidikan dan latihan bagi kadet serta pegawai Malaysia dan Turkiye di institusi di kedua-dua negara.
“Kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen bersama untuk memerangi jenayah terancang rentas negara dan keganasan dalam semua bentuk serta manifestasinya selain menegaskan kepentingan kerjasama antarabangsa bagi menangani cabaran keselamatan yang semakin berkembang,” katanya.
Menyentuh mengenai tenaga dan kelestarian, Malaysia dan Turkiye menyatakan hasrat mereka untuk memperluas kerjasama dalam peralihan tenaga, tenaga boleh baharu, tenaga nuklear, hidrogen bersih dan teknologi bateri, sambil menegaskan semula tanggungjawab bersama bagi menangani perubahan iklim selaras dengan Perjanjian Paris dan Matlamat Pembangunan Mampan.
“Dalam konteks ini, kedua-dua pihak menyambut baik peluang untuk terus berhubung mengenai perubahan iklim menjelang Kepresidenan Turkiye pada Persidangan Pihak-Pihak ke-31 (COP31) di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC),” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat melalui kerjasama yang dipertingkatkan dalam bidang kebudayaan, pendidikan, pelancongan dan media, dengan Turkiye menyatakan sokongan terhadap inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026.
Mengenai kerjasama serantau dan isu global, kedua-dua pihak menegaskan semula sokongan mereka terhadap rakyat Palestin dan penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka, sambil menekankan keperluan akses kemanusiaan ke Gaza serta kepentingan multilateralisme dan pembaharuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kenyataan bersama itu turut menyatakan mesyuarat pertama HLSCC telah meletakkan asas bagi satu pelan hala tuju komprehensif untuk memperdalam hubungan dua hala dan kedua-dua pihak bersetuju mengadakan mesyuarat kedua di Malaysia pada 2028.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial