IPOH, 9 Jan (Bernama) -- Perak bersedia menandatangani beberapa pemain baharu sebagai persediaan memperkukuh pasukan bagi menghadapi saingan Piala Malaysia serta mengharungi baki saingan Liga A1 musim ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata bagaimanapun, keputusan muktamad berhubung perkara itu bergantung kepada pandangan pengurus dan barisan kejurulatihan pasukan.
“Sekiranya terdapat keperluan daripada pengurus dan jurulatih, serta pemain yang dibawa masuk mampu memberikan impak besar dan melonjakkan prestasi pasukan, saya bersedia membuka ruang untuk penambahan pemain, mungkin di posisi penyerang, pemain tengah atau pertahanan.
“Langkah ini sebagai persediaan untuk menambah kekuatan pasukan bagi menghadapi Piala Malaysia dan baki perlawanan Liga A1 selepas jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) dibuka pada 5 Jan lalu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Liga Perak Sejahtera 2030 di Hotel Casuarina@Meru, di sini, semalam.
Perak yang layak secara merit untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia musim ini bakal berdepan laluan getir apabila diundi menentang Kuala Lumpur City FC pada pusingan 16 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), pada 18 Jan ini.
Bagi aksi timbal balik, kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 25 Jan ini.
Sementara itu, Mohd Azhar berkata beliau berharap para pemain Perak dapat beraksi dengan penuh komitmen bagi melakar kejutan ke atas The City Boys, juara Piala Malaysia edisi 2021.
“Kita sedar mereka memiliki kualiti yang lebih baik, ditambah pula dengan bilangan pemain import yang ramai, namun dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku sepanjang 90 minit permainan.
“Saya berharap para pemain dapat mempersembahkan permainan berkualiti sekali gus melakar kejutan dalam pertemuan tersebut,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial