WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LAWATAN RASMI PERDANA MENTERI KE TURKIYE PERKUKUH HUBUNGAN PERDAGANGAN, PELABURAN - MATRADE

09/01/2026 10:23 AM

Daripada Muhammad Saufee Rosman

ISTANBUL, 9 Jan (Bernama) -- Lawatan rasmi Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye membuka ruang baharu untuk memperkukuh hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan republik itu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Abu Bakar Yusof.

Beliau berkata perkara itu dapat dilihat menerusi sesi mesyuarat meja bulat bersama Perdana Menteri bersama 46 pemain utama industri Turkiye dan Malaysia membuahkan hasil positif apabila masing-masing menunjukkan minat mendalam untuk memperluas pasaran mereka demi manfaat bersama.

“Ini merupakan satu sesi yang membolehkan syarikat-syarikat Turkiye bertanya secara langsung kepada Perdana Menteri dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berhubung keperluan untuk mempertingkatkan hubungan perniagaan dengan Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Mesyuarat yang berlangsung semalam diadakan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkiye selama tiga hari dan sesi meja bulat itu turut dihadiri Johari.

Mesyuarat berkenaan dianjurkan bersama oleh MATRADE dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dihadiri penggiat utama industri seperti Defence Technologies Engineering and Trade Inc (STM), Turkish Aerospace Industries Inc (TAI) dan ASELSAN serta tujuh syarikat Malaysia.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata maklum balas yang diterima menerusi sesi meja bulat itu membuahkan hasil positif apabila syarikat-syarikat Turkiye menunjukkan minat mendalam untuk memperluas pasaran mereka ke Malaysia.

“Sama ada mereka nak eksport ke Malaysia ataupun untuk mendapatkan lebih banyak produk dan permata daripada Malaysia dan tentu saja selain produk itu ada minat ditunjukkan oleh syarikat Turkiye untuk melabur di Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai penubuhan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC) Malaysia-Turkiye, Abu Bakar berkata platform itu merupakan pemangkin bagi penumbuhan ekonomi serta perdagangan antara kedua-dua negara memandangkan ia merangkumi tumpuan memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai sektor.

Dalam lawatan kali ini, Anwar dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan telah menandatangani Deklarasi Bersama Penubuhan HLSCC serta bersama-sama mempengerusikan mesyuarat sulung majlis itu.

Penubuhan HLSCC bertujuan untuk menilai status kerjasama dua hala, menyemak perkembangan inisiatif yang sedang dilaksanakan dan meneroka bidang kerjasama baharu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan