WILAYAH - TENGAH > BERITA

LESEN TAMAT TEMPOH, VESEL NELAYAN DITAHAN DI PULAU PANGKOR

11/01/2026 06:48 PM

IPOH, 11 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah vesel nelayan tempatan yang beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh, semasa melakukan rondaan di perairan Pulau Pangkor, semalam.

Pengarah Maritim Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata penahanan tersebut dilakukan pada 4.38 petang di kedudukan lapan batu nautika barat Pulau Pangkor ketika Kapal Maritim Malawali sedang melaksanakan rondaan rutin.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan masih menjalankan aktiviti penangkapan ikan walaupun lesen pengoperasian telah tamat tempoh.

"Hasil pemeriksaan turut mendapati vesel terbabit dikendalikan empat warga Thailand termasuk tekong serta 18 awak-awak warga Kemboja. Kesemua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Shukri berkata kesemua kru, vesel, peralatan menangkap ikan serta hasil laut telah ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Kampung Acheh serta diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan siasatan di bawah Akta Perikanan 1985.

Dalam pada itu, Mohamad Shukri menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi untuk sebarang pelanggaran undang-undang maritim, khususnya melibatkan pengoperasian vesel tanpa lesen sah.

"Tindakan penguatkuasaan secara berterusan dan bersepadu akan terus diperkukuh bagi memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan perairan negeri Perak sentiasa terpelihara, "katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan