WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JABATAN IMIGRESEN TERUS PERHEBAT TINDAKAN PENGUATKUASAAN DI LOKASI TUMPUAN WARGA ASING

14/01/2026 03:53 PM

PUTRAJAYA, 14 Jan (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan terus memperhebat tindakan penguatkuasaan serta operasi di lokasi tumpuan warga asing pada tahun ini, kata Ketua Pengarah JIM Datuk Zakaria Shaaban.

Berucap ketika menyampaikan amanat 2026 kepada warga JIM di sini hari ini, beliau berkata operasi dan aktiviti penguatkuasaan jabatan itu kali ini perlu lebih strategik dan tidak lagi tertumpu kepada operasi di kilang atau tapak tertentu semata-mata. 

“Tahun ini kita kena perhebat tindakan penguatkuasaan kerana sentimen masyarakat kepada kerajaan. Persepsi masyarakat di luar adalah ramai warga asing menguasai aktiviti ekonomi dan menjadi tumpuan di satu-satu tempat. 

“Jadi, aktiviti penguatkuasaan perlu strategik kerana operasi di tapak pembinaan dan sebagainya itu memang kita telah biasa buat. Kali ini, kita (JIM) kena fikirkan sektor dan kawasan lain yang lebih merisaukan masyarakat,” katanya. 

Zakaria berkata aspek lain yang perlu diberi tumpuan ialah usaha bagi memantapkan integriti pegawai dan anggota JIM selain agenda pemerkasaan kecerdasan buatan dan pendigitalan dalam perkhidmatan imigresen.  

“Soal integriti tidak boleh dikompromi dan JIM tidak mahu perkara itu berlaku seperti agensi lain … jangan biarkan soal integriti berlaku di jabatan ini. Bahagian Integriti JIM kena main peranan lebih efektif termasuk laksana program pemantapan integriti,” katanya. 

Dalam sidang media berasingan, beliau berkata JIM turut menekankan nilai kemanusiaan dalam perkhidmatan supaya warga jabatan dapat memberikan perkhidmatan dengan cemerlang dan mesra. 

“Nilai kemanusiaan perlu ada dalam diri warga JIM supaya mereka dapat menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat (dengan baik),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan