WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERAK PERUNTUK LEBIH RM2.3 JUTA LAKSANA PELBAGAI PROGRAM PENDIDIKAN

14/01/2026 04:46 PM

IPOH, 14 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak melalui kerjasama strategik antara Yayasan Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak memperuntukkan kira-kira RM2.3 juta bagi melaksanakan pelbagai program pemerkasaan pendidikan sepanjang tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pendekatan kolaboratif ini membolehkan pelaksanaan intervensi pendidikan dirancang secara lebih berfokus dan berkesan di peringkat sekolah.

Beliau berkata sepanjang tahun lalu, kerjasama antara Yayasan Perak dan JPN Perak telah menyaksikan pelaksanaan pelbagai program pemerkasaan pendidikan yang memberi manfaat kepada puluhan ribu murid daripada ratusan sekolah di seluruh negeri, melibatkan Sektor Pembelajaran, Sektor Pembangunan Murid dan Sektor Pendidikan Islam.

“Antara inisiatif utama ialah Program Perak One Third High yang melibatkan 28,086 calon SPM 2025 dari 255 sekolah, dengan penekanan kepada intervensi akademik, sokongan pelajar layak sijil serta usaha meningkatkan kadar kelulusan SPM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Saarani menyaksikan majlis penyerahan mock cheque antara Yayasan Perak dan JPN Perak yang berlangsung di Foyer Pejabat Menteri Besar Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Penyerahan mock cheque disempurnakan Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan, kepada Pengarah Pendidikan Negeri, Zulkafli Mohamed Mokhtar.

Selain program utama untuk calon peperiksaan, Yayasan Perak dan JPN Perak turut melaksanakan beberapa inisiatif lain termasuk Program Propulih dan Propulih 2.0 yang membantu lebih 3,600 murid mengatasi isu literasi asas.

Turut dilaksanakan ialah Program Red Flag Risiko Cicir (RFRC) melibatkan 7,555 pelajar berisiko di 72 sekolah bagi mengurangkan risiko keciciran, serta Program Kecemerlangan Pendidikan Islam yang melibatkan 26,363 murid dari 621 sekolah melalui tuisyen, bengkel kecemerlangan dan seminar bagi memperkukuh pencapaian akademik serta sahsiah pelajar.

Saarani berkata beliau yakin pendekatan bersepadu dan kolaboratif ini bukan sahaja meningkatkan pencapaian akademik murid, malah menyokong pembangunan modal insan secara holistik dan mampan, sejajar dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan