WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENINGKATAN PERUNTUKAN BAP BUKTI KERAJAAN MADANI PERKASA PENDIDIKAN NEGARA - WONG

14/01/2026 07:48 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Peningkatan berterusan peruntukan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus melabur dalam memperkasa pendidikan negara serta memastikan tiada murid tercicir daripada meneruskan persekolahan akibat kekangan kewangan.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata sebagai perbandingan, pada 2022 peruntukan BAP berjumlah RM400.4 juta dan hanya melibatkan 2.7 juta murid dari tahun satu hingga tingkatan lima, yang ibu bapa atau penjaga mereka berpendapatan kasar bulanan RM3,000 ke bawah.

Beliau berkata peruntukan BAP terus dipertingkatkan setiap tahun, iaitu RM765 juta yang memanfaatkan 5.1 juta murid pada 2023, RM788 juta (2024) dan RM791 juta (2025).

“Bermula 11 Jan, BAP 2026 berjumlah RM150 disalurkan secara berperingkat kepada setiap murid warganegara Malaysia, melibatkan peruntukan keseluruhan RM800 juta, tertinggi dalam sejarah pelaksanaan BAP,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata perluasan BAP antara pembaharuan paling signifikan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) di bawah Kerajaan MADANI, dengan inisiatif berkenaan dijangka memanfaatkan lebih 5.2 juta penerima pada 2026 tanpa mengira bangsa, agama, aliran sekolah dan latar belakang keluarga.

Selain itu, Wong berkata KPM komited untuk mengekalkan 100 peratus murid dalam sistem pendidikan melalui pelaksanaan inisiatif sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) dan sekolah terapung, khususnya bagi kawasan pedalaman dan mencabar.

Beliau berkata dua sekolah K11 di Perak iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kemar dan Sekolah Kebangsaan Banun telah beroperasi sejak tahun lepas dan satu lagi ditambah tahun ini, iaitu SK Jernang.

Menurut Wong, sekolah K11 menyediakan pendidikan menyeluruh dari tahun satu hingga tingkatan lima di satu lokasi yang sama bagi memudahkan akses pembelajaran murid di kawasan pedalaman.

“KPM turut memperkenalkan sekolah terapung pertama negara di Tasik Banding pada Oktober 2025 sebagai usaha merapatkan jurang pendidikan melalui penyediaan ruang pembelajaran alternatif yang lebih fleksibel dan berteraskan komuniti,” katanya.

Beliau berkata pendekatan sekolah terapung menerima respons amat positif dengan permintaan kini mencecah 70 murid, selain membantu murid Orang Asli di kawasan pedalaman yang sebelum ini terpaksa menempuh perjalanan jauh dan menaiki bot untuk ke sekolah.

“Keseluruhan inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan KPM dalam memastikan setiap anak Malaysia mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti yang inklusif, tanpa mengira sama ada mereka tinggal di bandar atau di kawasan pedalaman,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan