WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SIASATAN KES TEMBAK DI SELANGOR TUNJUK PERKEMBANGAN POSITIF - KP SELANGOR

16/01/2026 11:44 AM

SEPANG, 16 Jan (Bernama) -- Siasatan terhadap semua kes tembak yang berlaku di Selangor menunjukkan perkembangan positif, dengan perincian turut meliputi kemungkinan penglibatan elemen gengsterisme, menurut Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar.

Beliau berkata hasil siasatan yang dijalankan setakat ini memberikan gambaran positif, bagaimanapun butiran lanjut tidak dapat didedahkan kerana dikhuatiri menjejaskan siasatan.

Sehubungan dengan itu, Shazeli meminta orang ramai supaya memberikan keyakinan penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyelesaikan semua kes tembak yang berlaku di negeri ini.

“Insya-Allah, sekiranya siasatan berjaya diselesaikan, kami akan berkongsi maklumat dengan masyarakat. Berilah keyakinan kepada PDRM Selangor, kami akan memberikan yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah KLIA di sini hari ini.

Pada 5 Jan lepas, seorang lelaki maut dalam kejadian tembak berhampiran sebuah restoran makanan segera di Banting.

Mengulas tentang kebakaran kilang di Banting pada Rabu, Shazeli berkata polis masih menunggu laporan forensik daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Jangan terburu-buru. Kita tunggu hasil siasatan daripada JBPM,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan tiga lelaki maut dalam kebakaran melibatkan empat kilang, termasuk sebuah kilang pemprosesan minyak, di Kawasan Perindustrian Olak Lempit, Banting.

Pada majlis itu, ACP M. Ravi dilantik sebagai Ketua Polis Daerah KLIA yang baharu, menggantikan SAC Azman Shari'at yang kini memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Latihan, Peperiksaan dan Kompetensi) di Bukit Aman.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan