WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TIDAK PAKAI TALI PINGGANG KELEDAR, LANGGAR LAMPU ISYARAT KESALAHAN TERTINGGI - JPJ PERAK

16/01/2026 02:56 PM

IPOH, 16 Jan (Bernama) -- Tidak memakai tali pinggang keledar hadapan serta gagal mematuhi peraturan lampu isyarat adalah antara kesalahan tertinggi direkodkan dalam Operasi Khas Sembilan Kesalahan Utama yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak sepanjang tahun lepas.

Timbalan Pengarah JPJ Perak Mohd Azmi Jaafar berkata bagi tempoh itu, pihaknya telah memeriksa sejumlah 17,218 kenderaan di seluruh Perak dalam operasi khas terbabit, manakala pada 1 hingga 15 Jan lepas, sebanyak 1,800 kenderaan diperiksa dengan 167 kesalahan direkodkan.

Beliau berkata operasi khas itu dijalankan untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang ingkar dengan undang-undang trafik.

"Sepanjang 2025, sebanyak 2,191 saman dikeluarkan untuk kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar hadapan, manakala 1,066 saman gagal mematuhi peraturan lampu isyarat. Bagi tempoh tahun ini, 130 kesalahan tali pinggang keledar, 19 kesalahan langgar lampu isyarat dan 14 kesalahan menggunakan telefon bimbit dikesan.

"Statistik tahun lepas juga menunjukkan 520 kesalahan melibatkan tidak memakai topi keledar, menggunakan telefon bimbit (363), memandu di lorong kecemasan (265), memotong garisan berkembar (262), memotong barisan (59), tidak memakai tali pinggang keledar belakang (56) dan memandu di lorong kanan secara berterusan dengan 42 kes," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melaksanakan Operasi Khas Sembilan Kesalahan Utama di Jalan Kuala Kangsar–Jalan Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.

Dalam operasi hari ini, sebanyak 107 kenderaan diperiksa dan 82 daripadanya telah diambil tindakan melibatkan 40 kereta, 36 motosikal dan selebihnya membabitkan lain-lain kenderaan dengan 112 notis telah dikeluarkan, dan 25 daripada notis terbabit melibatkan kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar.

Dalam perkembangan lain, Mohd Azmi berkata JPJ Perak akan terus memberikan penekanan kepada penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan, termasuk kesalahan membawa muatan berlebihan menerusi pelaksanaan Ops Perang yang dijalankan secara berterusan.

"JPJ Perak telah menerima arahan daripada ibu pejabat untuk meneruskan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan sepanjang 2026.

“Operasi yang dilaksanakan bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya sebagai pendekatan mendidik dan meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan pematuhan undang-undang serta keselamatan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata JPJ Perak akan terus memperkukuh usaha penguatkuasaan dan pencegahan kemalangan jalan raya demi memastikan keselamatan pengguna di negeri itu sentiasa terpelihara.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan