WILAYAH - SELATAN > BERITA

PEMERDAGANGAN MANUSIA: SEMBILAN WARGA INDONESIA DIBERKAS DI PONTIAN

17/01/2026 09:16 PM

JOHOR BAHRU, 17 Jan (Bernama) -- Sembilan warga Indonesia termasuk seorang transporter dan dua tekong laut serta enam migran, diberkas menerusi Ops Pintas Bersepadu di kawasan Sungai Boh, Serkat, di Pontian hari ini.

Ketua Polis Daerah Pontian Supt Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata operasi pada 2 pagi itu hasil maklumat risikan mengenai kegiatan penyeludupan keluar dan masuk migran ke negara ini menerusi laluan yang tidak diwartakan.

"Kesemua tangkapan berusia 24 hingga 51 tahun termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun dan seorang wanita," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata sebuah kereta Proton Wira, bot fiber bersama enjin, lapan telefon bimbit pelbagai jenama serta satu peket hablur kristal disyaki syabu dianggarkan seberat 21.41 gram turut dirampas dalam operasi tersebut.

Nilai rampasan berjumlah kira-kira RM60,000.

Dalam pada itu, beliau berkata ujian air kencing mendapati tiga lelaki iaitu transporter dan tekong laut terbabit didapati positif dadah jenis methamphetamine. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A  Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan