WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PIALA MALAYSIA: PELUANG MASIH TERBUKA BUAT IMIGRESEN FC

18/01/2026 12:10 PM

BATU KAWAN, 18 Jan (Bernama) -- Peluang masih terbuka buat pasukan Imigresen FC (IFC) untuk bersaing dalam Piala Malaysia selepas mengikat Negeri Sembilan FC (NSFC) pada perlawanan pertama, malam tadi.

Ketua jurulatih IFC Yusri Che Lah berkata pasukan perlu bekerja lebih keras dengan persiapan rapi menjelang perlawanan timbal balik di Paroi pada 25 Jan ini, bagi memastikan tempat ke pusingan seterusnya bagi pasukan yang kali pertama membuat penampilan dalam kancah Piala Malaysia.

“Kita tahu Piala Malaysia adalah satu kejuaraan yang diidamkan semua pasukan dan mampu mencipta sejarah besar sekiranya berjaya melakukan sesuatu membanggakan, terutamanya buat pasukan Imigresen yang baru bermula musim ini dan kali pertama beraksi.

“Jadi saya rasa pasukan saya perlu bekerja lebih keras dan tidak boleh berpuas hati dengan keputusan hari ini kerana seri bukanlah sesuatu yang kita inginkan. Dalam saingan Piala Malaysia, jaringan amat penting kerana ia akan meletakkan kita pada kedudukan lebih baik untuk melangkah ke pusingan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Negeri Pulau Pinang di sini, malam tadi.

Pengendali berusia 50 tahun itu berkata tekanan tinggi yang diberikan pasukan lawan pada awal perlawanan menyebabkan pemainnya hilang punca, sebelum kembali menemui rentak selepas minit ke-30 termasuk berjaya menjaringkan gol, namun dibatalkan kerana kedudukan ofsaid.

Mengenai perlawanan kedua nanti, Yusri berharap pemainnya lebih peka serta bersedia dari segi mental dan emosi, khususnya berdepan suasana stadium yang dijangka dipenuhi penyokong tuan rumah.

“Kami tidak biasa beraksi di hadapan kehadiran penyokong yang ramai dan ini mungkin kali pertama berdepan situasi sedemikian apabila menentang Negeri Sembilan. Jadi saya mengharapkan pemain lebih bersedia serta mampu menyesuaikan diri dengan keadaan dan tekanan perlawanan.

“Selain itu, berdasarkan tiga perlawanan terakhir mereka tanpa jaringan, kami akan cuba memberikan tekanan di Paroi nanti. Saya juga memberi keyakinan kepada pemain bahawa sekiranya perlawanan berakhir dengan keputusan sama selepas 90 minit, kami bersedia untuk membawa aksi ke masa tambahan dan seterusnya penentuan sepakan penalti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih NSFC Nidzam Jamil berkata keputusan seri tanpa jaringan itu sebagai adil selepas pasukannya tewas dua perlawanan liga berturut-turut sebelum ini kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) FC dan Selangor FC.

Beliau enggan menjadikan faktor keletihan sebagai alasan meskipun terpaksa melakukan penggiliran pemain dan berharap pasukannya mampu bangkit dengan persembahan lebih bertenaga apabila beraksi di laman sendiri.

“Sudah tentu kami mahu pulang dengan kemenangan 1-0 atau 2-0, namun kita juga perlu menghormati Imigresen yang memberi ancaman melalui penyerang mereka seperti Wilmar Jordan Gil serta pemain sayap Eduardo Sosa.

“Kita terpaksa buat penggiliran lima hingga enam pemain sebab tujuh hari tiga perlawanan ini sebenarnya mencabar kalau skuad tak cukup besar namun, selepas berdepan JDT dan Selangor, saya rasa keputusan 0-0 ini adalah adil.  Fokus selepas ini ialah untuk perlawanan di tempat sendiri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan