KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Parti Progresif Penduduk (PPP) kini diiktiraf sebagai sebuah parti komponen dalam Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata formaliti pengiktirafan itu akan diadakan pada mesyuarat dewan tertinggi BN di Kota Kinabalu, pada 21 Jan.
“Di sini saya memegang surat perutusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang bertarikh 25 Nov 2025 yang berbunyi bahawa PPP sebuah parti dalam Barisan Nasional,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung PPP ke-72 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Hadirin dan perwakilan kemudiannya bangun dan bersorak kegembiraan sambil meluangkan ‘hidup PPP’.
Turut hadir Presiden PPP Datuk Dr J. Loga Bala Mohan, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Ketua Wanita BN/UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Pemuda BN/UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, barisan kepimpinan tertinggi serta perwakilan PPP.
Beliau berkata selepas ini, tiada mana-mana parti yang boleh mempertikaikan kedudukan sah PPP dalam BN.
Pada sidang media selepas itu, Ahmad Zahid berkata pengiktirafan berkenaan mengesahkan PPP sebagai anggota penuh BN dan pengumuman rasmi sengaja ditangguhkan supaya dapat dibuat semasa Perhimpunan Agung PPP.
“Saya dan rakan-rakan sengaja melambatkan pengumuman ini, kerana kami menunggu Perhimpunan Agung PPP diadakan,” katanya.
Zahid berkata keanggotaan teras BN kini melibatkan lima parti iaitu UMNO, MIC, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan PPP.
Beliau berkata pengiktirafan PPP adalah penting bagi memastikan kestabilan serta memperkukuh kesatuan dalam kalangan parti komponen BN.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial