WILAYAH - SARAWAK > BERITA

NIOSH GESA MAJIKAN PERKUKUH KESELAMATAN PENGGUNAAN GAS BERBAHAYA

18/01/2026 06:06 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menggesa semua majikan dan pemilik premis yang mengendalikan gas berbahaya atau sistem yang menggunakan gas termasuk penyaman udara, supaya memperkukuh pematuhan undang-undang dan amalan terbaik keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).

Pengarah Eksekutif NIOSH Datuk Ayop Salleh berkata langkah itu termasuklah kewajiban menyediakan tempat kerja yang selamat, latihan bersesuaian serta sistem kerja yang mampu mengurangkan risiko semasa pengendalian, penyimpanan dan pengangkutan bahan terbabit.

Beliau berkata insiden kebocoran gas ammonia di Plaza Tol Seremban serta letupan sistem penyaman udara di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara baru-baru ini menunjukkan persamaan yang jelas, iaitu pendedahan atau kegagalan kawalan terhadap gas dan bahan kimia berbahaya boleh mengakibatkan kecederaan serius dalam tempoh singkat.

Ayop berkata keadaan itu sekali gus menunjukkan kepentingan kawalan risiko yang ketat terhadap bahan kimia dan gas bertekanan, sama ada ketika pengangkutan, penyimpanan, kerja penyelenggaraan atau operasi harian di premis dan fasiliti awam.

“Insiden baru-baru ini menunjukkan kepentingan aspek latihan dan pengurusan risiko bagi memastikan mereka yang terlibat mempunyai pengetahuan, kemahiran dan peralatan bagi mengelak berlakunya tragedi.

“Aktiviti melibatkan gas dan bahan kimia menuntut pendekatan pencegahan yang lebih menyeluruh, bermula dengan penilaian risiko, kawalan kejuruteraan, prosedur kerja selamat, kompetensi pekerja, sehingga kesiapsiagaan kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi memastikan pengurusan dan kawalan pendedahan bahan berbahaya dapat dilaksanakan secara tersusun mengikut panduan pihak berkuasa, NIOSH menyediakan khidmat nasihat pakar secara percuma, selain pelbagai latihan serta perkhidmatan makmal berkaitan seperti Penilaian Risiko Kesihatan Bahan Kimia atau Chemical Health Risk Assessment (CHRA).

Selain itu, beliau berkata NIOSH bersedia membantu organisasi kerajaan dan swasta memperkukuh langkah pencegahan melalui khidmat konsultasi serta audit latihan pengurusan bahan kimia dan tindak balas kecemasan, semakan prosedur operasi selamat dan program peningkatan kompetensi pekerja yang terlibat dengan bahan kimia serta gas berbahaya.

“Tumpuan utama ialah memastikan risiko dapat dikenal pasti lebih awal, dikawal secara berkesan dan semua pihak mengetahui tindakan yang perlu diambil semasa kecemasan.

“NIOSH turut menggalakkan majikan menyemak semula pelan kecemasan, menjalankan latihan berkala, memperkukuh komunikasi risiko kepada pekerja dan kontraktor, serta memastikan mekanisme pelaporan segera dilaksanakan supaya tindakan kawalan dapat diambil sebelum sesuatu insiden menjadi lebih buruk,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan