KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad menawarkan perkhidmatan komuter percuma di Lembah Klang selama dua hari, dengan operasi khas tanpa henti selama empat hari sempena sambutan Thaipusam, 1 Feb ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ia bagi memudah dan melancarkan pergerakan kira-kira 2.5 juta penganut Hindu dan pelancong ke Batu Caves, Selangor yang menjadi antara tumpuan utama sambutan Thaipusam di negara ini.
Beliau berkata perkhidmatan percuma itu disediakan selama 48 jam bermula 12 tengah malam 31 Jan (Sabtu) hingga 11.59 malam 1 Feb (Ahad), dengan mekanisme imbasan keluar melalui pintu automatik (ACG).
"Inisiatif ini dijangka menelan kos RM1 juta, tetapi kita mahu memastikan kemudahan penumpang dan mengelakkan kesesakan teruk kerana terlalu ramai dijangka menggunakan perkhidmatan komuter.
“Secara keseluruhan sebanyak 609 trip akan dikendalikan, peningkatan 23 peratus berbanding tahun lepas, melibatkan laluan Batu Caves–Pulau Sebang, Batu Caves–Pelabuhan Klang serta Tanjong Malim–KL Sentral,” katanya pada sidang media perkhidmatan KTM Komuter Sempena Thaipusam 2026 di KL Sentral di sini hari ini.
Ia merangkumi 302 perkhidmatan bagi laluan Batu Caves-Pulau Sebang-Batu Caves, 165 perkhidmatan bagi laluan Batu Caves-Pelabuhan Klang-Batu Caves dan 142 perkhidmatan laluan Tanjong Malim-KL Sentral-Tanjong Malim (transit tren ke KL Sentral).
Loke berkata sebanyak 28 stesen KTMB akan beroperasi 24 jam sepanjang tempoh itu bagi melancarkan aliran penumpang serta membantu golongan warga emas, orang kurang upaya, wanita mengandung dan kanak-kanak.
Beliau berkata KTMB juga menyediakan tambahan lapan perkhidmatan tren elektrik (ETS) dari 29 Jan hingga 3 Feb melibatkan masing-masing dua trip bagi laluan JB Sentral-Butterworth-JB Sentral, JB Sentral-KL Sentra-JB Sentral, KL Sentral-Ipoh-KL Sentral dan KL Sentral-Butterworth -KL Sentral dengan 10,080 tiket ditawarkan.
Sementara itu, beliau berkata Prasarana Malaysia Berhad melalui Rapid KL dan Rapid Penang akan menyediakan perkhidmatan bas shuttle percuma di ibu negara dan Pulau Pinang, manakala perkhidmatan feri percuma di Pulau Pinang ditawarkan selama 53 jam bermula 31 Jan.
“Di Kuala Lumpur, 30 bas akan beroperasi dari Pasar Seni, LRT Gombak dan MRT Kampung Batu ke Batu Caves dengan kekerapan setiap 10 minit, manakala di Pulau Pinang, 12 bas shuttle percuma disediakan dari jeti feri ke Adventist mengikut jadual feri. Selain itu, perkhidmatan feri percuma turut ditawarkan di Pulau Pinang dari 31 Jan hingga 2 Feb.
“Perkhidmatan BAS.MY turut menyediakan perkhidmatan tambahan percuma di Johor Bahru, Seremban, Ipoh, Kota Setar dan Sungai Petani melibatkan keseluruhan 169 bas untuk ke beberapa destinasi tumpuan sambutan Thaipusam,” katanya.
Beliau berkata aspek keselamatan turut diberi penekanan dengan penugasan staf tambahan, polis bantuan serta sokongan pasukan perubatan di Stesen Batu Caves sepanjang tempoh operasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial