ALOR SETAR, 20 Jan (Bernama) -- Kes saman fitnah yang difailkan oleh pemilik majoriti Kedah Darul Aman (KDA FC) Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar terhadap Setiausaha Akhbar (SUA) kepada Menteri Besar Kedah Muhamad Mat Yakim akan diteruskan selepas gagal mencapai penyelesaian secara baik.
Peguam Ashraf Sohaimi yang mewakili Mohd Daud berkata kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan untuk penyelesaian di luar mahkamah dalam proses pengantaraan (mediasi) di Pusat Mediasi Mahkamah Alor Setar hari ini.
"Mediasi tidak berjaya dan kes ini akan diteruskan dengan perbicaraan ... tarikh perbicaraan pada Julai ini, tetapi tarikh tepat belum ada," katanya kepada pemberita di pekarangan mahkamah, di sini hari ini.
Pengantaraan adalah alternatif kepada penyelesaian kes tanpa perlu melalui proses perbicaraan penuh.
Prosiding pengantaraan yang berlangsung hampir dua jam itu turut dihadiri oleh Mohd Daud dan Muhamad serta peguamnya Abdul Hadi Ahmad.
Menerusi saman yang difailkan pada Oktober lepas, Mohd Daud mendakwa Muhamad membuat satu kenyataan menerusi Facebook yang mengandungi fakta tidak tepat berkaitan pemilikan kelab bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 29 Jun tahun lepas.
Mohd Daud menamakan Muhamad selaku defendan tunggal serta menuntut pampasan, ganti rugi am, teruk dan teladan terhadapnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial