WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JEPUN REKOD 42.7 JUTA PELAWAT ASING PADA 2025

20/01/2026 05:42 PM

TOKYO, 20 Jan (Bernama-Kyodo) -- Jumlah pelawat asing ke Jepun mencapai anggaran rekod 42.7 juta orang pada 2025, menurut kerajaan pada Selasa, dengan perbelanjaan mereka turut mencecah paras tertinggi baharu sebanyak 9.5 trilion yen (US$60.1 bilion), didorong oleh kelemahan nilai yen dan peningkatan penerbangan ke Jepun.

Bagaimanapun, angka awal turut menunjukkan penurunan 45 peratus pelancong dari China pada Disember berbanding tempoh sama tahun sebelumnya kepada 330,000 orang, lapor Kyodo News memetik Menteri Pelancongan Yasushi Kaneko pada sidang medianya.

Penurunan itu berlaku ketika pertikaian berterusan antara Jepun dan China dijangka memberi kesan kepada trend kemasukan pelawat pada 2026.

Kemerosotan jumlah pelawat dari China merupakan penurunan pertama sejak Januari 2022 semasa pandemik COVID-19 dan kerajaan sedang memantau situasi berkaitan pelawat dari China, kata Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan.

Secara keseluruhan, jumlah pelawat melepasi 40 juta buat pertama kali, dengan anggaran keseluruhan kira-kira 6 juta orang lebih tinggi berbanding 2024.

Kaneko berkata Jepun akan “melaksanakan promosi pelancongan Jepun secara strategik” ketika kemasukan pelawat yang semakin pelbagai terutamanya dengan peningkatan ketibaan dari Australia, Eropah dan Amerika Syarikat.

Hubungan antara Tokyo dan Beijing dilaporkan semakin tegang sejak kenyataan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, pada awal November mengenai kemungkinan krisis Taiwan mencetuskan kemarahan China, menurut Kyodo.

Kesan daripada ketegangan itu termasuk langkah ekonomi oleh China, antaranya menggesa rakyatnya daripada melawat Jepun, selain beberapa syarikat penerbangan mengurangkan penerbangan di laluan Jepun-China.

Walaupun kerajaan Jepun menetapkan sasaran menarik 60 juta pelawat asing setahun menjelang 2030, beberapa destinasi pelancongan popular kini berdepan masalah seperti kesesakan melampau dan salah laku segelintir pelancong.

Bagi menangani cabaran akibat lonjakan pelancongan masuk, Jepun akan menaikkan cukai pelancong antarabangsa yang dikenakan ke atas semua pelancong yang meninggalkan Jepun iaitu sebanyak tiga kali ganda kepada 3,000 yen mulai Julai, katanya.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan