WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMBANGUNAN BERKUALITI TINGGI CHINA SUNTIK KESTABILAN KEPADA EKONOMI DUNIA - PENGARAH URUSAN WEF

20/01/2026 06:01 PM

BEIJING, 20 Januari (Bernama-CMG) -- Pengarah Urusan Forum Ekonomi Dunia (WEF) Maroun Kairouz berkata, ekonomi China yang berjaya beralih dari pertumbuhan pesat ke pembangunan berkualiti tinggi, telah menyuntik momentum dan kestabilan kepada ekonomi dunia.

Beliau juga memberikan penilaian positif terhadap prestasi transformasi dan penaiktarafan ekonomi China, dan menyifatkannya sebagai mempunyai makna dari segi strategik, dengan sasaran mewujudkan pembangunan yang lebih lestari dan berdaya tahan.

Kairouz menyatakan demikian dalam wawancara secara bertulis oleh Agensi Berita Xinhua, baru-baru ini.

Beliau menyatakan bahawa China sudah menjadi  satu daripada penyumbang terbesar kepada pemasangan baharu kapasiti  tenaga boleh diperbaharui di dunia sejak beberapa tahun lepas.

Pada 2024, China menarik pelaburan sebanyak US$818 bilion dalam bidang tenaga bersih, dan angka itu meningkat 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, ekonomi digital seperti kecerdasan buatan (AI), pembuatan maju dan perkhidmatan digital banyak menyumbang kepada peningkatan kecekapan pelbagai sektor di China.

Kairouz menganggap bahawa prestasi itu bukan sahaja mempertingkat daya tahan ekonomi China, malah juga mencipta peluang baharu kepada negara lain dalam bidang tenaga bersih, perdagangan teknologi dan lain-lain, serta amat membantu dalam mengatasi cabaran bersama khususnya ketika dunia kini mendepani situasi yang tidak menentu.

Kairouz menekankan bahawa China mempunyai rantaian bekalan pembuatan yang amat berdaya saing di peringkat global.

Selain itu, teknologi hijau dan kelebihan pembuatan maju yang dimiliki China akan memainkan peranan penting dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan ketidakstabilan rantaian bekalan global.

-- BERNAMA-CMG

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan