WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AKPS KLIA RAMPAS GAMAT KERING, SUSU TEPUNG DAN MAKANAN HAIWAN

20/01/2026 09:10 PM

SEPANG, 20 Jan (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merampas gamat kering, susu tepung dan makanan haiwan menerusi pemeriksaan berasingan di Zon Perdagangan Bebas (FCZ) Kargo KLIA, semalam. 

AKPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiga konsainan komoditi keluaran pertanian itu diimport tanpa pematuhan Permit Import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) melibatkan gamat kering bernilai RM203.99, susu tepung (RM831.23) dan makanan haiwan (RM1,070.36).

“Gamat kering itu dirampas selepas pemeriksaan pada 9.38 pagi mendapati komoditi seberat empat kilogram (kg) itu diimport dari Korea oleh seorang individu tempatan tanpa disertakan Permit Import MAQIS yang sah,” menurut kenyataan itu.

Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) berkaitan pengimportan tanpa Permit Import MAQIS yang sah. 

Pemeriksaan pada 10.25 pagi pula merampas enam kilogram (kg) susu tepung kerana didapati mengemukakan Permit Import MAQIS yang mengelirukan sekali gus menimbulkan keraguan terhadap pematuhan keperluan pengimportan yang ditetapkan, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 13 akta sama.

AKPS memaklumkan rampasan enam kg makanan haiwan yang diimport tanpa Permit Import MAQIS yang sah dibuat pada pukul 1.07 tengah hari dengan pemeriksaan mendapati ia diimport dari Portugal oleh sebuah syarikat berdaftar milik warga tempatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) akta sama kerana mengimport keluaran pertanian tanpa Permit Import MAQIS yang sah.

AKPS memaklumkan akan terus memperkukuh penguatkuasaan dan pemantauan di pintu masuk negara bagi memastikan semua pengimport mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan