KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sepanjang 2026, disokong oleh kadar inflasi yang rendah pada 2025 dan pertumbuhan ekonomi yang stabil.
Berdasarkan data Indeks Harga Pengguna (IHP) terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata inflasi tahun penuh bagi 2025 adalah pada 1.4 peratus, menurun daripada 1.8 peratus pada 2024, menunjukkan trend disinflasi pascapandemik kekal utuh.
Melangkah ke tahun 2026, HLIB menjangka IHP, pengukur utama inflasi di Malaysia, akan naik sedikit kepada 1.7 peratus, didorong oleh kesan asas yang rendah, pelarasan dasar pada peringkat domestik dan inflasi berkaitan komunikasi.
“Bagaimanapun, aliran peningkatan tersebut dijangka bersifat sederhana berikutan harga RON95 yang lebih rendah, persekitaran komoditi global yang baik dan ringgit yang mengukuh,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut DOSM, inflasi Malaysia meningkat 1.6 peratus tahun ke tahun pada Disember 2025 daripada 1.4 peratus pada November 2025, melebihi anggaran konsensus median sebanyak 1.4 peratus.
“Peningkatan itu didorong oleh inflasi yang lebih tinggi untuk minuman beralkohol dan tembakau, perumahan, utiliti dan bahan api lain, maklumat dan komunikasi serta penjagaan diri,” katanya.
Sementara itu, katanya inflasi teras meningkat kepada 2.3 peratus tahun ke tahun pada Disember 2025 daripada 2.2 peratus pada bulan sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial