WILAYAH - SARAWAK > BERITA

GILBERTO SILVA PUJI GENERASI BAHARU BRAZIL MENJELANG PIALA DUNIA 2026

21/01/2026 08:05 PM

PETALING JAYA, 21 Jan (Bernama) -- Bekas tonggak tengah Brazil Gilberto Silva memuji generasi baharu pemain negara itu yang dilihat mempunyai potensi dan kualiti ketika skuad Selecao membuat persediaan untuk menghadapi Piala Dunia FIFA 2026.

Pemenang Piala Dunia 2002 itu melahirkan keyakinan bahawa skuad Brazil akan terus mencatatkan peningkatan dan mampu mengekalkan fokus dalam beberapa bulan menjelang edisi 2026.

“Brazil mempunyai generasi pemain yang sangat baik. Apabila anda melihat mereka, terutamanya yang berada dalam pasukan kebangsaan, kebanyakan mereka bermain di Eropah, di kelab-kelab terbaik di seluruh dunia. Mereka berada di sana kerana mempunyai kualiti. Mereka bermain dengan baik.

“Saya berharap baki beberapa bulan menjelang saingan Piala Dunia, mereka mampu bertambah mantap dan lebih fokus untuk bermain di Piala Dunia demi Brazil dengan melakukan yang terbaik, saya fikir inilah yang kita mahukan daripada mereka,” katanya semasa sesi bertemu media sempena Jelajah Trofi Piala Dunia FIFA di sini hari ini.

Bekas pemain tengah Arsenal itu juga berharap Brazil menjulang trofi itu sekali lagi.

Brazil merupakan pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala Dunia FIFA, setelah memenangi kejohanan itu sebanyak lima kali, iaitu pada 1958, 1962, 1970, 1994 dan 2002.

Ratusan peminat bola sepak hadir untuk melihat secara dekat trofi Piala Dunia FIFA yang berprestij di Sunway Pyramid di sini hari ini, yang telah dirasmikan oleh Silva bersama legenda bola sepak kebangsaan Datuk Santokh Singh dan penyanyi tempatan MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Hamdan.

Terdahulu, trofi yang dikawal ketat oleh pasukan anggota keselamatan termasuk wakil FIFA, tiba di Malaysia sebagai sebahagian daripada jelajah globalnya yang meliputi 75 perhentian, dengan majlis rasmi diadakan di Pusat Penerbangan Serantau Skypark di Shah Alam.

Ketibaan trofi yang turut dimeriahkan dengan persembahan tarian tradisional tempatan, disambut oleh Presiden Unit Operasi ASEAN dan Pasifik Selatan The Coca-Cola Company Selman Careaga dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Dr Nagulendran Kangayatkarasu.

Ini menandakan kali pertama trofi itu kembali ke Malaysia sejak 2014. Siri jelajah trofi itu dijangka diteruskan ke Korea Selatan dan Jepun.

Piala Dunia FIFA 2026 akan menampilkan 48 pasukan buat kali pertama, dijadual berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada dari 11 Jun hingga 19 Julai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan