WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRK KINABATANGAN: KEMPEN BN-GRS MASUK "GEAR LIMA" - NAIM MOKTAR

21/01/2026 11:04 PM

KINABATANGAN, 21 Jan (Bernama) -- Kempen Barisan Nasional (BN) bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag kini memasuki “gear lima” dalam usaha meraih sebanyak mungkin undi. 

Calon BN Mohd Kurniawan Naim Moktar yang dipertaruhkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan berkata tempoh kempen berbaki dua hari lagi sebelum hari pengundian Sabtu ini, dimanfaatkan dengan memperkemas dan melipatgandakan usaha bagi memastikan kemenangan.

“Kita dalam pecutan terakhir bagi memastikan kita dapat memenangkan kerusi Parlimen. Jadi saya akan terus berkempen hingga hari terakhir agar mendapat kemenangan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan ceramah kelompok di kawasan Suan Lamba yang terletak kira-kira 55 kilometer dari pekan Kota Kinabatangan di sini dan turut dihadiri Ketua GRS Bahagian Sukau Datuk Juhari Janan.

Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan itu yang mesra disapa Naim Moktar berkata beliau telah selesai menjelajah kesemua 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan Parlimen berkenaan. 

Kempen bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag telah memasuki hari ke-12 hari ini sejak bermula pada 10 Jan lepas selepas tamat proses penamaan calon.

Kedua-dua PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Sementara itu, Juhari berkata beliau yakin menerusi komitmen dan kerjasama jitu yang ditunjukkan parti komponen Kerajaan Perpaduan Sabah dalam PRK kali ini mampu membantu memenangkan Mohd Kurniawan Naim, termasuk meningkatkan majoriti undi berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada PRU15, Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan selepas memperoleh majoriti 4,330 undi dengan menewaskan pencabarnya Mazliwati Abdul Malek daripada Parti Warisan (Warisan).

“Insya-Allah kita yakin dan kita berdoa kepada Allah SWT (supaya Mohd Kurniawan Naim menang)…kita mahu tingkatkan undi kepada majoriti lebih 10,000,” katanya.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati (Warisan).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan