Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Kedutaan Diraja Thailand di Kuala Lumpur sedang bersiap sedia untuk memudahkan urusan pengundian awal bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Thailand dan referendum perlembagaan kebangsaan yang dijadualkan pada hujung minggu ini.
Proses pengundian akan berlangsung secara serentak pada 24 dan 25 Jan dari 9 pagi hingga 6 petang.
Latihan pengundian luar negara ini diadakan menjelang pilihan raya umum di negara itu pada 8 Feb.
Seorang pegawai dari kedutaan berkata seramai 3,957 warga Thailand di seluruh Malaysia telah mendaftar untuk mengundi dalam pilihan raya umum, sekali gus meletakkan Malaysia di kedudukan ke-10 di dunia bagi pendaftaran pengundi luar negara Thailand.
Sementara itu, seramai 2,814 pengundi telah mendaftar untuk referendum, meletakkan Malaysia di tempat kesembilan di peringkat global.
Pegawai itu berkata selain membuang undi secara fizikal di Kedutaan di Jalan Ampang, pihak kedutaan juga telah mengerahkan Unit Undi Bergerak ke Johor, Sarawak dan Sabah bagi memastikan akses kepada warga Thailand yang menetap di negeri berkenaan.
“Pengundi yang layak di tempat lain di negara ini akan membuang undi di Konsulat Jeneral Diraja Thailand di Pulau Pinang dan Kota Bharu," kata pegawai itu kepada Bernama.
Pengundi juga dinasihatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan mematuhi waktu pengundian yang ditetapkan di lokasi masing-masing.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand, seramai 139,535 warga Thailand di seluruh dunia telah mendaftar sebagai pengundi luar negara bagi pilihan raya umum dan 95,666 bagi referendum.
Pilihan raya 2026 itu diadakan susulan pembubaran Dewan Perwakilan pada akhir tahun lepas, manakala referendum bertujuan menilai konsensus awam mengenai penggubalan perlembagaan baharu.
Ini merupakan referendum perlembagaan ketiga bagi Thailand, selepas yang pertama pada 2007 dan yang kedua pada 2016.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial