WILAYAH - TIMUR > BERITA

PELAJAR SEKOLAH AGAMA, PONDOK DIGALAKKAN KUASAI TEKNOLOGI BAHARU - PM ANWAR

22/01/2026 04:34 PM

BENTONG, 22 Jan (Bernama) -- Pelajar sekolah agama dan pondok digalakkan menguasai teknologi baharu yang dilihat sebagai benteng penting umat Islam di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata di samping akhlak dan adab, penguasaan ilmu baharu seperti kecerdasan buatan (AI), digital dan komputer amat diperlukan dalam mendepani perubahan dan cabaran semasa.

“Maka sebab itu antara peruntukan kita (ialah) melatih (pelajar) maahad tahfiz dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). (Pelajar) sekolah agama dan pondok didedahkan dengan teknologi baharu ini, (tetapi) tak ganggu silibus yang lama (cuma) tambah sedikit.

“Terima kenyataan, perubahan menuntut kita siap sebagai pendakwah dan pendidik yang mampu menghadapi cabaran zaman,” kata beliau berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pelajar Sekolah Tahfiz Negeri Pahang di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Majlis yang dihadiri lebih 300 pelajar sekolah tahfiz itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perdana Menteri turut memuji Pahang sebagai antara negeri yang terkehadapan dalam mengangkat kedudukan maahad tahfiz dan pendidikan Islam di negara ini.

Sementara itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa penguasaan Bahasa Melayu dan Sejarah amat penting, agar rakyat dapat memahami serta menghayati Perlembagaan Persekutuan.

“Perlembagaan kita menjamin kedudukan Islam, agama Persekutuan, Bahasa Melayu bahasa rasmi selain kedudukan dan kedaulatan raja-raja Melayu serta hak keistimewaan Melayu bumiputera...ini harus diajar kepada anak-anak.

“Kalau tidak, sampai 60-70 tahun merdeka, sibuk bergaduh soal bahasa, soal hak keistimewaan. Padahal ini sudah termaktub dalam Perlembagaan dan bukan untuk dipertikai,” kata Perdana Menteri.

Anwar sebelum ini memaklumkan semua sekolah di negara ini termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah aliran Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), diwajibkan menawarkan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah sebagai mata pelajaran untuk peperiksaan pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan