WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENDIDIKAN PERCUMA REALISASIKAN IMPIAN PELAJAR BERKEPERLUAN, OKU SAMBUNG PENGAJIAN 

22/01/2026 08:06 PM

KUANTAN, 22 Jan (Bernama) -- Pelancaran Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035  menandakan langkah penting dalam usaha membina negara berpaksikan kemanusiaan dengan merealisasikan impian pelajar berkeperluan dan Orang Kurang Upaya (OKU) menyambung pengajian. 

Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Prof Dr Yatimah Alias berkata inisiatif pendidikan percuma kepada 10,000 pelajar kategori miskin melalui bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi sinar baharu kepada golongan berkeperluan.

"Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding kira-kira 5,800 pelajar miskin tegar yang menerima manfaat menerusi belanjawan tahun lepas, ia sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan memperluas akses pendidikan tinggi secara inklusif.

“Kini terdapat 10,000 tempat disediakan kepada pelajar miskin untuk belajar di universiti tanpa bayaran. Justeru, ibu bapa dan pelajar berkeperluan tidak perlu gusar, kerana dengan komitmen ini tiada yang akan terpinggir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yatimah berkata inisiatif berkenaan membolehkan pelajar terlibat memperoleh peluang pendidikan hingga peringkat tinggi tanpa dibebani kekangan kewangan yang sebelum ini menjadi penghalang utama.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan akan memperluas inisiatif pendidikan percuma melalui PTPTN kepada 10,000 pelajar daripada keluarga miskin untuk melanjutkan pengajian di institut pendidikan tinggi awam (IPTA).

Yatimah berkata universiti itu melalui Yayasan UMPSA turut menyediakan pelbagai bantuan bagi menyokong kebajikan pelajar termasuk Insentif Kecemerlangan, Biasiswa UMPSA, Bantuan Komputer Riba dan program UMPSA Campus Pantry.

Selain itu, katanya bantuan zakat disediakan untuk mahasiswa Muslim, Bantuan Sara Diri untuk mahasiswa bukan Muslim, Bantuan Musibah serta pelbagai lagi inisiatif kebajikan bagi memastikan kelangsungan pengajian bagi pelajar memerlukan.

Mengenai pendidikan percuma kepada kira-kira 3,000 pelajar OKU di IPTA, politeknik dan kolej komuniti seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,  Yatimah berkata pendidikan percuma ini memberikan fokus kepada penglibatan penuh pelajar sepanjang tempoh pengajian hingga tamat, dalam ekosistem pendidikan yang menyeluruh.

"UMPSA turut menyediakan sokongan bukan kewangan seperti perkhidmatan pusat komuniti menerusi Hab Teknologi dan Ekosistem Inklusif (HATi), sokongan akademik, psikososial, bimbingan kebajikan serta akses kepada kemudahan dan perkhidmatan sokongan inklusif,” katanya.

Beliau berkata UMPSA kini berada pada tahap bersedia dan terus diperkukuh secara berperingkat dari segi penyediaan infrastruktur mesra OKU termasuk laluan kerusi roda, lif, tandas khas serta penyesuaian ruang pembelajaran di bangunan utama universiti.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan