KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Pendengaran rayuan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman agar beliau dan peguamnya dibenar hadir dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan ditangguhkan ke tarikh lain.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili Dr Mahathir, berkata rayuan itu sepatutnya didengar hari ini namun pihaknya memohon penangguhan kerana rakan sejawatnya, Zainur Zakaria yang mengetuai rayuan berkenaan sedang berehat selepas menjalani prosedur endovascular aneurysm repair baru-baru ini.
"Pada Khamis lepas, kami memohon penangguhan selepas dimaklumkan bahawa pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) tiada bantahan… kes ini ditetapkan untuk pengurusan secara e-semakan pada 6 Feb ini bagi menetapkan tarikh pendengaran yang baharu," katanya ketika dihubungi media hari ini.
Pada 13 Jan 2025, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman difailkan Dr Mahathir untuk membolehkan beliau dan peguamnya hadir sepanjang prosiding RCI berkenaan.
Bekas Perdana Menteri itu memberi keterangan dalam prosiding RCI yang dijalankan secara tertutup pada 12 Jun 2024, dan suruhanjaya berkenaan telah menyahklasifikasikan laporannya yang dikeluarkan pada 5 Dis tahun sama.
Laporan itu antara lain berpendapat Dr Mahathir mungkin dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan berkaitan walaupun ia bertentangan dengan pendapat perunding antarabangsa yang menyatakan bahawa terdapat asas dan kebarangkalian ia berjaya.
Permohonan itu adalah bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ada 23 Mei 2008 yang memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu, adalah milik Malaysia.
Selain itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.
Dalam laporan setebal 217 muka surat, RCI turut mengesyorkan agar siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan, dan beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 417 serta Seksyen 418 kanun yang sama.
Pada 22 Julai 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan tindakan terhadap Dr Mahathir berhubung isu kedaulatan Pulau Batu Puteh yang dibangkitkan dalam RCI atas pertimbangan faktor usia.
Dr Mahathir memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 5 Jun 2024 menamakan lapan responden termasuk Pengerusi RCI Tun Md Raus Sharif, dan mendakwa beliau tidak dibenar diwakili peguam pilihannya pada prosiding itu.
Bekas Perdana Menteri itu memohon deklarasi bahawa beliau adalah individu yang menjadi perkara dalam siasatan RCI atau terbabit dengan perkara yang sedang disiasat, justeru memohon perintah mandamus supaya beliau dan peguamnya dibenarkan hadir sepanjang prosiding RCI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial