WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ATAM KERJASAMA DENGAN PEMAIN INDUSTRI DI KRABI, BANGUNKAN ASNAF PERLIS

27/01/2026 12:02 PM

KRABI, 27 Jan (Bernama) -- Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menandatangani Surat Niat (LoI) bersama dengan tiga pemain industri di sini untuk menjalin kerjasama dalam usaha membangunkan golongan asnaf di Perlis.

Ahli Lembaga Pengarah ATAM yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor berkata pihak industri itu terdiri daripada Sriphong Farm, Ban Na Teen Social Enterprise dan Boossabakorn Spa and Wellness.

Mohd Nazim berkata Sriphong Farm mengusahakan ladang ternakan kambing, manakala pengusaha Ban Na Teen pula terlibat dalam produk pelancongan komuniti termasuk batik dan kraf tangan.

"Untuk Wilayah Krabi, terdapat tiga pihak kami laksanakan LoI untuk kerjasama antaranya dari segi perkongsian berkaitan kemahiran dan latihan selain bidang pelancongan," katanya kepada pemberita pada Program Ziarah Mahabbah MAIPs ke Wilayah Andaman 2026 yang dilaksanakan di Krabi.

Antara fokus program ziarah yang berlangsung dari 23 Jan hingga Ahad lepas, yang memasuki edisi ke-11 pada tahun ini, ialah melestarikan kerjasama ATAM dengan kepakaran usahawan dan industri di Krabi.

Rombongan program ziarah itu diketuai oleh Raja Muda Perlis yang juga Yang Dipertua MAIPs Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Ahli-ahli Lembaga Pengarah ATAM dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) Maizura Shamsuddin turut hadir.

Wilayah Andaman merangkumi Krabi, Ranong, Phuket, Phang Nga, Trang dan Satun.

Untuk rekod, kerjasama strategik antara MAIPs dengan Majlis Agama Islam (MAI) Enam Wilayah Andaman itu dicapai melalui bengkel bersempena dengan "Multaqa Ummatan Wahidah" (Pertemuan Satu Umat) antara MAIPs, yang diketuai Tuanku Syed Faizuddin Putra, dengan MAI enam wilayah itu pada 14 Mac 2015.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan