WILAYAH - TIMUR > BERITA

MAIK LULUS BANTUAN BINA RUMAH KEPADA 215 ASNAF TAHUN LEPAS

27/01/2026 06:31 PM

BACHOK, 27 Jan (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) meluluskan bantuan pembinaan rumah kepada 215 asnaf di negeri ini pada tahun lepas melibatkan peruntukan berjumlah RM14.9 juta.

Yang Dipertua MAIK Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata nilai rumah yang diterima setiap asnaf berjumlah RM65,000 hingga RM80,000, bergantung kepada bilangan ahli keluarga penerima.

"Kita ada rumah yang mempunyai tiga bilik bernilai RM65,000, bagi empat bilik pula berjumlah RM73,000 dan lima bilik (RM80,000).

"MAIK akan bekerjasama dengan Pejabat Tanah dan Jajahan bagi memilih penerima, selain turut mendapat maklumat daripada pemimpin tempatan seperti penghulu atau penggawa," katanya pada Majlis Pelancaran Bantuan Awal Persekolahan Asnaf MAIK 2026 dan Penyerahan Replika Kunci Rumah MAIK kepada 24 penerima di Masjid Jamek Mahmoodi di sini hari ini.

Terdahulu, Tengku Mohamad Rizam turut menyampaikan sumbangan bantuan awal persekolahan sebanyak RM150 seorang kepada 210 pelajar dari Masjid Mukim Zon Bachok dengan melibatkan perbelanjaan berjumlah RM31,500.

Beliau berkata sebanyak RM3.5 juta diperuntukkan bagi bantuan awal persekolahan kepada golongan asnaf tahun ini yang melibatkan 25,578 pelajar.

Sementara itu, penerima rumah MAIK, Nor Asiah Safei, 39, dari Kampung Nipah di sini bersyukur kerana telah memiliki rumah sendiri dan tidak perlu lagi membayar sewa rumah sebanyak RM300 sebulan.

"Sejak lapan tahun lepas saya dan suami, Raja Shahrun Eshan Raja Ali, 38, berserta dua anak tinggal di rumah sewa dengan bayaran sebanyak RM300 sebulan.

"Saya mohon bantuan rumah MAIK ini sejak 2022 dan setiap tahun saya tidak pernah putus asa. Alhamdulillah, setelah penantian saya selama ini akhirnya membuahkan hasil apabila dapat rumah yang ada tiga bilik bernilai RM65,000," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan