PUTRAJAYA, 28 Jan (Bernama) -- Pengukuhan nilai ringgit mencerminkan tahap keyakinan pelabur, kestabilan dasar negara, kekuatan institusi dan keupayaan modal insan Malaysia, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan.
Beliau berkata sejarah dan realiti ekonomi membuktikan bahawa sesebuah negara hanya mampu mengekalkan kekuatan mata wang apabila produktiviti buruh meningkat, kemahiran tenaga kerja dipertingkat dan tadbir urus negara dilaksanakan secara telus serta berintegriti.
“Justeru, pembangunan tenaga kerja berkualiti menjadi antara teras utama dalam usaha memperkukuh asas ekonomi negara,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Ramanan berkata sehubungan itu, Kementerian Sumber Manusia memainkan peranan strategik sebagai pemangkin pembangunan modal insan negara, dan memberi penekanan kepada beberapa perkara termasuk pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kebolehpasaran graduan TVET, penguasaan kemahiran digital serta adaptasi teknologi baharu selari dengan keperluan industri masa hadapan.
Beliau berkata pendekatan itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan produktiviti dan pendapatan rakyat malah memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan berkualiti di peringkat antarabangsa.
Ramanan berkata Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat agenda reformasi ekonomi yang berpaksikan ketelusan, integriti, pelaburan berkualiti dan pembangunan insan.
“Agenda ini menjadi asas penting dalam membina semula keyakinan terhadap ekonomi negara dan seterusnya menyumbang kepada pengukuhan kedudukan ringgit,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan MADANI tidak mahu sebuah ekonomi yang hanya kukuh dari sudut angka dan statistik semata-mata tetapi sebuah ekonomi yang benar-benar memberi manfaat secara langsung kepada rakyat melalui gaji yang lebih baik.
“Ia termasuk peluang pekerjaan berkualiti, perlindungan sosial yang menyeluruh serta jaminan masa depan yang lebih terjamin khususnya untuk generasi muda,” katanya.
KESUMA, katanya, akan terus komited memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja yang bukan sahaja mahir dan berdaya saing malah beretika, berdisiplin serta bersedia menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin kompleks.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia Apurva Sanghi hari ini memaklumkan ringgit mencatatkan peningkatan semula yang lebih kukuh, melonjak daripada paras kira-kira 4.70 berbanding dolar AS beberapa tahun lepas kepada paras 3.90, menjadikannya antara mata wang berprestasi terbaik di Asia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial