WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MANGSA RAGUT WARGA EMAS CEDERA SELEPAS DISERET 10 METER DI KETEREH

29/01/2026 12:17 AM

KOTA BHARU, 28 Jan (Bernama) -- Seorang warga emas wanita berusia 72 tahun cedera akibat diseret kira-kira 10 meter selepas menjadi mangsa ragut di Kampung Paloh Rambai, Ketereh di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Azmir Damiri berkata polis menerima laporan berhubung insiden itu pada 11.50 pagi daripada mangsa.

Beliau berkata sebelum itu, mangsa didatangi dua lelaki tidak dikenali yang menaiki sebuah motosikal ketika sedang membakar sampah di halaman rumahnya pada 10.30 pagi.

“Seorang suspek telah turun dari motosikal lalu meragut seutas rantai tangan di pergelangan tangan kiri mangsa dan menarik rantai leher yang dipakai mangsa,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azmir berkata mangsa sempat bergelut dengan suspek untuk mempertahankan diri sehingga menyebabkan mangsa terseret di atas jalan sebelum kedua-dua lelaki melarikan diri dan akibat kejadian itu, warga emas berkenaan cedera di beberapa bahagian badan serta mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek masih diteruskan.

Orang ramai dinasihat agar sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling dan tidak mempamerkan barangan berharga secara berlebihan bagi mengelak daripada menjadi sasaran penjenayah.  

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan