WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LISA BLACKPINK DILANTIK DUTA AMAZING THAILAND

29/01/2026 12:14 AM

BANGKOK, 28 Jan (Bernama) -- Lalisa “Lisa” Manobal daripada kumpulan Blackpink dilantik sebagai Duta Amazing Thailand di bawah kempen “Feel All the Feelings”.

Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) Thapanee Kiatphaibool berkata peranan Lisa sebagai duta akan menampilkan keindahan, keunikan serta nilai Thailand dari perspektif baharu, sekali gus menggalakkan pelawat menghargai negara itu bukan sahaja sebagai destinasi indah, tetapi juga melalui pengalaman bermakna yang kekal dalam ingatan.

“Pelantikan Lisa sebagai Duta Amazing Thailand menandakan satu lembaran baharu dalam menyampaikan daya tarikan Thailand, menghubungkan hati dengan negara ini dan menjemput pelancong untuk merasai setiap ‘perasaan’ yang mentakrifkan Thailand - bukan sekadar sebagai destinasi, tetapi sebagai Destinasi Santai Berkualiti,” katanya pada majlis pelancaran kempen itu yang berlangsung di Wat Arun Ratchawararam, di sini, pada Rabu.

Thapanee berkata TAT terus memperkukuh keyakinan terhadap pelancongan Thailand menerusi inisiatif Trusted Thailand, yang meletakkan Thailand sebagai destinasi berkualiti yang boleh dipercayai dan dipilih dengan penuh keyakinan oleh pelancong.

Mengulas mengenai kempen “Feel All the Feelings”, Thapanee berkata kempen itu menggalakkan rakyat Thailand menjadi “tuan rumah yang baik” di samping memperkukuh keyakinan pelancong menerusi inisiatif Trusted Thailand, yang bertujuan memastikan setiap lawatan memberi rasa selamat, meninggalkan kenangan indah serta mendorong kunjungan berulang.

Beliau berkata TAT percaya bahawa menampilkan keindahan Thailand menerusi perspektif Lisa akan membantu pelancong melihat negara itu sebagai destinasi berkualiti terkemuka yang mempunyai kedalaman melangkaui tarikan pemandangan semata-mata.

“Setiap pengalaman mempunyai nilai, dan setiap detik perjalanan sama ada melalui manusia, budaya, cara hidup atau suasana,semuanya bermakna.

“Kami mahu setiap lawatan mencipta kenangan jangka panjang yang memberi inspirasi kepada pelancong untuk datang ke Thailand, kembali semula dan berkongsi cerita mereka,” katanya.

--BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan